Calon gugur diminta bantu muka baharu

Calon gugur diminta bantu muka baharu

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon yang tidak terpilih dan digugurkan daripada mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu memberikan sokongan dengan mengarahkan jentera membantu muka baharu yang bertanding.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka seharusnya berpandangan positif dan menunjukkan contoh yang baik kepada pemimpin parti yang lain.

Beliau berkata, mereka perlu berlapang dada kerana sudah tiba masanya muka baharu yang dipilih ini diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pesanan saya selaku Setiausaha, sekiranya dahulu kita bertanding dan jentera parti beri sokongan, maka, sekarang tiba giliran kita untuk beri arahan kepada jentera parti beri sokongan pada calon baharu.

“Sebagaimana yang saya sebut, yang digugurkan itu mungkin kerana ada pelbagai sebab, antaranya kita ingin beri peluang muka baharu di bahagian pula berkhidmat,” katanya ditemui selepas Majlis Pengenalan dan Penyerahan Watikah Calon BN di Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; Presiden MCA Datuk Seri  Dr. Wee Ka Siong dan Pengarah Operasi Pilihan Raya Umum BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beberapa nama besar BN termasuk menteri digugurkan seperti Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Ahmad pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang tidak terpilih kerana memberikan khidmat bakti terbaik selama ini di kawasan masing-masing.

“Sebagai contoh, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abd. Aziz dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak menimbulkan apa-apa isu walaupun beliau tidak dicalonkan, itu satu contoh yang baik. 

“Kita tahu mereka nama besar di sana, ini adalah satu contoh yang baik bagaimana beliau tidak ada mengatakan perkara-perkara yang tidak baik,” katanya. 

Ahmad yang merupakan calon kerusi Parlimen Pontian pada masa sama turut menjelaskan pemilihan calon tidak mudah kerana perlu melalui pelbagai proses dan tapisan daripada pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, orang lama parti perlu memberikan kerjasama dalam membantu memenangkan calon muka baharu pada PRU15.

Beliau berkata, calon yang tidak terpilih seperti Dr. Adham Baba dan Halimah memberi jaminan bahawa jentera di kawasan Tenggara dan Kota Tinggi akan terus menyokong calon ditampilkan parti.

“Kita berhadapan dengan emosi manusia, memang akan ada rasa kecewa dan tidak gembira apabila digugurkan sebagai calon, bahkan penyokong mereka akan berkongsi perasaan dan sentimen yang sama. 

“Berikan mereka (Dr. Adham dan Halimah) masa. Saya yakin sehari dua lagi selepas ini mereka akan kembali menyokong dan memperkuat jentera parti semula. Mereka sudah memberi jaminan bahawa jentera di kawasan masing-masing akan berjalan dan beroperasi seperti biasa ketika saya menghubungi mereka kelmarin,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya