BAGAN DATUK: Buluh yang digunakan untuk memasang bendera parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini baru-baru ini menjadi bahan berguna buat seorang pesara guru yang menghasilkan kraf di kem motivasi miliknya.
Hamzah Samsudin, 63, berkata, buluh bendera yang terbiar di tepi jalan dan tidak dikutip selepas PRU15, memberi ilham kepadanya untuk menambah produk kraf di kem motivasinya di Parit 13, Hutan Melintang di sini.
Katanya, untuk itu, dia mengutip buluh yang terbiar dan dibawa ke kem motivasi miliknya.
“Daripada terbiar, saya kutip buluh-buluh ini dan dibuat produk kraf antaranya bubu, batang joran, pagar perkhemahan dan lain-lain kraf.
“Ini pastinya mencantikkan lagi suasana di kem saya selain dapat menjimatkan kos,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini beliau tidak pernah terfikir untuk menghasilkan kraf di kem motivasi miliknya.
Katanya, idea tersebut datang apabila melihat banyak buluh-buluh bendera parti yang dipasang dan ada di antaranya tidak dikutip selepas PRU15.
“Saya lihat buluh-buluh yang banyak di sepanjang jalan kiri dan kanan selepas PRU15 dipasang di tiang-tiang, ada yang sudah jatuh, lebih baik saya kutip di bawa ke kem dan saya jadikan kraf dan sebagainya.
“Selain itu, tidak payah lagi parti-parti politik membuka bendera parti mereka lagi dan ini sudah tentu memudahkan mereka sebab saya sudah kutip dan buka,” katanya.
Menurutnya, kem motivasi yang diusahakannya menjadi lokasi untuk mengadakan pelbagai aktiviti untuk unit beruniform seperti kadet remaja sekolah dan pengakap. –UTUSAN