41 kg heroin bernilai setengah juta dirampas

41 kg heroin bernilai setengah juta dirampas

AZMI ABU KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Membekal dadah tanpa bersemuka dengan meletakkan bekalan di dalam kereta tanpa dikunci untuk diambil oleh pembeli melalui telefon bimbit selain bayaran dibuat melalui transaksi perbankan.

Itu modus operandi sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar Lembah Klang yang dilumpuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman, Selasa lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, serbuan Op Snowshoe dijalankan kira-kira pukul 5 petang di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh dengan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dalam sebuah kereta di tepi jalan berdekatan lokasi tersebut. 

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemukan tiga kotak yang berisi 90 bungkusan dadah jenis heroin seberat 41 kilogram dianggarkan bernilai RM550,000.

“Ketika ditahan, suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan mendapatkan dadah tersebut. 

“Sindiket ini dikesan bergerak aktif sejak tiga bulan lalu selain bekalan dadah jenis heroin ini dipercayai diproses di sekitar Lembah Klang,” katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat untuk mendapatkan saki baki ahli sindiket. 

Ujarnya, suspek yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama. 

“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod narkotik atau rekod jenayah.

“Suspek direman tujuh hari bermula 23 hingga 29 November 2022 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” ujarnya. 

Tambah Azmi, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat awam yang disalurkan kepada JSJN KL.

“Dadah yang dirampas in adalah untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan mampu menampung penggunaan lebih 80,000 orang pengguna (user) dadah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur meminta kerjasama daripada orang awam supaya terus menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan aktiviti dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.