40 tahun politik Anwar-Mahathir

40 tahun politik Anwar-Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menjadi medan pertempuran terakhir antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik negara.

Hubungan kedua-dua tokoh itu sudah menjangkau 40 tahun sejak Anwar menyertai UMNO, ketika Dr. Mahathir baru beberapa bulan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada 30 Mac 1982, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Anwar selaku bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik UMNO “kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr. Mahathir.”

Menurut Anwar, beliau kagum dengan usaha Perdana Menteri untuk memerangi rasuah, menghapuskan kemiskinan dan memelihara kepentingan orang Melayu.

Pengumuman itu dibuat di hadapan Dr. Mahathir, sekali gus membuka jalan bagi Anwar bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) yang akan berlangsung pada 22 April ketika itu.

Anwar yang meraih kemenangan walaupun bertanding kali pertama di Permatang Pauh, membantu BN meraih majoriti dua pertiga iaitu 132 kerusi pada PRU 1982.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Dr. Mahathir mengakui kemasukan Anwar tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu.

“Anwar dibawa masuk dalam UMNO, walaupun orang tahu dia tidak memihak kepada UMNO. Tetapi saya bagi dia masuk. Banyak pemimpin UMNO tidak senang waktu itu pasal mereka tahu, kalau Anwar masuk, dialah yang akan menjadi Perdana Menteri. Dan sebenarnya apabila dia masuk, saya angkat dia daripada timbalan menteri, jadi menteri, jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Perkara itu sememangnya berlaku apabila Anwar memegang pelbagai jawatan Kabinet, bermula dengan Menteri Belia, Sukan dan Budaya (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986), Menteri Kewangan (1991), Timbalan Perdana Menteri (1993) dan pemangku Perdana Menteri (1997).

Kemuncak konflik: Mengapa Dr. Mahathir enggan Anwar jadi PM

Hubungan akrab mereka yang dibina sejak 1982 berakhir apabila Anwar dipecat oleh Dr. Mahathir dan dipenjara pada 1999.

“Apabila jadi Timbalan Perdana Menteri, bila saya letak jawatan, dialah jadi Perdana Menteri. Tetapi dia nampak gopoh sikit, dia nampak saya lama sikit (pegang jawatan Perdana Menteri), dia usaha dengan Ahmad Zahid nak bagi saya jatuh. Dia kata saya jadi diktator, kroni macam-macam tuduhan.

“Jadi, saya bersedia bertanding dengan dia kalau dia hendak jadi Presiden UMNO. Tengku Razaleigh Hamzah pun nak lawan saya, saya tak halang. Dia boleh lawan (nasib baik saya menanglah). Kalau Anwar nak lawan saya dalam pemilihan pemimpin, saya bersedia.

“Belum sampai pada pemilihan, polis beritahu Anwar terlibat dalam kes liwat. Apabila polis beritahu, saya panggil semua pemimpin UMNO untuk dengar taklimat polis.

“Mereka berpendapat, Anwar tidak sesuai untuk jadi Perdana Menteri. Saya adakan mesyuarat tertinggi UMNO sampai 4 pagi, kita bagi kepada Anwar pertahankan diri. Dia pertahankan dirinya pada mulanya tetapi kali kedua saya bagi peluang, dia keluar dah tidak sertai mesyuarat MT.

“Dalam mesyuarat itu, boleh kata ada satu dua orang ahli majlis tertinggi (tidak setuju). Yang lain semua hendak Anwar bukan sahaja dikeluarkan jadi Timbalan Perdana Menteri tetapi dipecat daripada UMNO. Itulah sebabnya,” katanya.

Anwar bertindak menyaman Dr. Mahathir atas pemecatannya namun tidak berjaya, sebelum beliau keluar penjara pada 2004 dan kembali aktif berpolitik pada 2008.

Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2002, namun beliau kekal bermusuhan dengan Anwar sehingga 2015.

Langkah Sheraton

Kira-kira 20 tahun kemudian, hubungan kedua-dua tokoh ini tidak banyak berubah, walaupun pernah bekerjasama semula pada 2018 dan membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

Meskipun Dr. Mahathir berjanji akan memberi laluan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri, perkara itu tidak menjadi kenyataan walaupun Dr. Mahathir meletak jawatan ketika berlaku Langkah Sheraton.

“Apabila saya letak jawatan sepatutnya PH sokong saya, apabila Agong minta namakan siapa yang mereka hendak sebagai Perdana Menteri. PH yang dulu sokong saya patut sokong saya tapi bagi undi kepada Anwar kononnya ada cukup bilangan untuk buat kerajaan.

“Akhirnya, kita dapati tidak dapat cukup. Dia cuma dapat 92 undi sahaja daripada separuh daripada PH dan saya dapat 62, yang saya dapat itu bukan daripada PH sokong saya. Kalau PH bagi 92 undi kepada saya, saya akan dapat 154 undi dan saya akan jadi Perdana Menteri tetapi yang tikam belakang saya ialah PH. Sepatutnya PH sokong saya tetapi mereka sokong Anwar.

“Apabila mereka dapati mereka kalah, mereka datang dengan Anwar minta saya jadi calon sekali lagi dan mereka akan sokong.Tetapi pada masa itu, walaupun saya dapat sokongan yang cukup tetapi Agong pilih Muhyiddin jadi Perdana Menteri,” katanya.

PRU15

Dr. Mahathir yang kini menerajui Parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) mengakui mahu bekerjasama dengan PH dalam PRU15, namun ditolak oleh Anwar.

“Dia tak nak kerjasama dengan saya. Saya dengar kononnya dia mahu bekerjasama dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“PKR akan bekerjasama dengan UMNO, Anwar akan jadi Perdana Menteri. Janji nak lepas pengampunan kepada Najib dan tuduhan kepada Zahid akan gugur. Itu rancangan dia. Dia tak nak kerjasama dengan kita,” katanya.

Anwar bagaimanapun dalam kempennya baru-baru ini enggan mengambil serius terhadap tawaran mahupun dakwaan yang dilemparkan Mahathir dalam PRU15 kerana beliau menyifatkan pendirian bekas Perdana Menteri itu sering berubah-ubah.

“Jika ditanya pada Dr. Mahathir, semalam memang dia kata begitu tetapi minggu depan dia akan kata benda lain pula.

“Kononnya dia akan kata Anwar tidak layak untuk menjadi Perdana Menteri tetapi dia sendiri pernah tandatangan surat sokongan kepada saya. Lepas itu nanti, Dr. Mahathir akan kata dia mahu bincang dan kemudian lain pula.

“Jadi jangan marah kepada Dr. Mahathir bila dia kata tidak mahu sokong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×