‘20 tahun dah saya jadi orang Perlis’

‘20 tahun dah saya jadi orang Perlis’

ROZABIL Abd. Rahman bersama akar umbi selepas perasmian bilik gerakan Tambun Tulang, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman menyifatkan isu calon luar tidak timbul memandangkan beliau sudah lebih 20 tahun mempunyai hubungan baik dengan pemimpin serta penduduk di Perlis.

Beliau yang tetap menghormati Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, isu calon luar sepatutnya diberi perhatian oleh Shahidan pada 2004 dahulu sewaktu beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau.

“Saya rasa isu calon luar ini patut dibangkitkan pada 2004 sewaktu saya jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau. Masa 2004, beliau (Shahidan) adalah Ketua UMNO Bahagian Arau dan dia patut warning saya bahawa saya ‘orang luar’ dan tak boleh jadi Ketua Pemuda.

“Namun begitu, saya masih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dari 2004 hingga 2013 diikuti Naib Ketua Bahagian Arau pada 2013 hingga 2018,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pemandu e-halling di sekitar Arau, semalam.

Tambah Rozabil, Shahidan sebelum ini juga pernah berseloroh siapa yang datang ke Perlis lebih dari dua jam adalah orang negeri ini.

“Jadi, saya dah 20 tahun maka saya adalah orang Perlis dan hubungan saya masih baik de­ngan orang Arau. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan kerana saya bukan pertama kali terlibat dengan politik di Perlis,” kata­nya.

Sementara itu, mengulas mengenai Bilik Gerakan BN yang didakwa ditutup berikutan pengguguran Shahidan, Rozabil berkata, bilik gerakan akan dibuka semula.

“Penutupan bilik gerakan itu tidak sampai 10 peratus pun di Parlimen Arau.

“Kalau ada yang masih tak mahu hendak membuka (bilik gerakan), kita ada cara lain ke­rana hanya sebilangan kecil saja yang tak nak tetapi ada yang nak buka bilik gerakan bantu kempen kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN