1,000 jentera bantu Zahida di Padang Besar

1,000 jentera bantu Zahida di Padang Besar

ZAHIDA ZARIK KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: UMNO Bahagian Padang Besar menggerakkan jentera dari setiap lima Dewan Undangan Negeri (DUN) secara holistik bagi membantu kempen Datuk Zahida Zarik Khan di Parlimen Padang Besar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, kira-kira 1,000 jentera DUN Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan digerakkan di seluruh kawasan Parlimen.

Katanya, aktiviti kempen sudah bermula dengan jentera mengedarkan risalah dan memasang poster calon di seluruh kawasan itu.

“Jentera kini aktif membantu kempen calon Parlimen dengan bertemu seluruh pengundi termasuk di lima DUN iaitu Titi Tinggi, Beseri, Mata Ayer, Chuping dan Santan,” katanya ketika ditemui di Padang Pauh sini hari ini.

Kelmarin, Zahida memuat naik satu video dalam laman Facebook memberitahu, beliau terpaksa membataskan pergerakan ketika berkempen kerana dalam tempoh idah selepas kematian suami pada 20 Ogos lalu.

Azizan yang kini memangku tugas sebagai komander gempur Padang Besar selepas bekas Ketua Bahagian UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin dipecat kerana bertanding atas tiket bebas berkata, penerimaan pengundi terhadap Zahida semakin baik.

Katanya, beliau berharap penerimaan pengundi akan bertambah baik menjelang hari pengundian pada 19 November ini.

“Pada awalnya, mungkin ramai yang rasa kurang senang apabila calon lain diletakkan di Parlimen berbanding Zahidi. Namun, selepas kita turun bertemu pengundi dan menerangkan tentang perkara itu, ramai yang sudah menerima calon muda kita,” jelasnya.

Zahida bakal ditentang Zahidi (Bebas); Ko Chu Liang (Warisan); Rushdan Rusmi (PN) dan Muhammad Saad @ Yahya (PH) dalam pertembungan lima penjuru. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN