UMNO tiada kuasa pengampunan - Utusan Malaysia

UMNO tiada kuasa pengampunan

ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan pemuzik ketika melihat fasiliti selepas merasmikan Angkasapuri Kota Media, turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Bangunan Angkasapuri, di sini hari ini. -UTUSAN/SHDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO bukan sahaja tidak mempunyai kuasa pengampunan pesalah, malah berpendirian untuk tidak mencampuri urusan mahkamah khususnya membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa pengampunan dan bukannya parti seperti mana dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan konsisten dengan pendirian iaitu kita tidak masuk campur urusan mahkamah, ini jelas. UMNO pun cakap tak masuk keputusan mahkamah, kita tak masuk urusan mahkamah.

“Kita UMNO tiada kuasa, kita menghormati sistem kehakiman, bukan kuasa UMNO untuk membebaskan sesiapa sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Media City di Angkasapuri di sini hari ini.

Beliau mengulas komen media sosial yang mendakwa Najib bakal mendapat pengampunan diraja sekiranya BN dan UMNO memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mengemukakan petisyen pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Najib kini juga memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Untuk pembebasan, ada dua tindakan dilakukan peguam beliau yang pertama, semakan kehakiman iaitu mahkamah akan putuskan, terserah kepada mankamah.

“Yang kedua, pengampunan. Daripada segi pengampunan ini, ia ditentukan oleh satu badan dipengerusikan oleh Agong. Itu terserah kepada lembaga untuk membuat keputusan.

“Kita UMNO tiada kuasa, kita menghormati sistem kehakiman, bukan kuasa UMNO untuk membebaskan sesiapa sahaja,” katanya.

Sebelum ini, panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengesahkan sabitan dan hukuman Najib oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lepas, yang seterusnya mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu atas tujuh tuduhan rasuah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN