SHAH ALAM: Keputusan Kerajaan Selangor tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) disambut dengan hati terbuka oleh UMNO Bahagian Shah Alam.
Menurut Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Azhari Shaari, pihaknya menjunjung perkenan baginda Sultan Selangor terhadap perkara tersebut.
“Namun, bagi kerusi Parlimen Shah Alam dan lain-lain Parlimen di negeri ini, untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), perjuangan parti tetap berjalan selaras ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ada atau tidak pilihan raya DUN, kita tetap berjuang untuk kepentingan rakyat sebagai fokus utama,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan negeri yang tidak membubarkan DUN Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata demikian selepas pertemuannya dengan Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan hari ini.
Terdahulu, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
Mengulas lanjut, Azhari berkata, perjuangan untuk memenangi kerusi Parlimen pada waktu terdekat mahupun DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga tahun hadapan tetap diteruskan walaupun pelbagai halangan yang menduga.
“Kita istiqamah untuk meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. –UTUSAN