KEMAMAN: Seorang tukang cuci Masjid Kampung Labohan, Kerteh, dekat sini tergamam apabila menemukan janin yang cukup sifat bersama uri ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di tandas wanita masjid tersebut, tengah hari tadi.
Kariza Muda, 49, berkata, dia menemukan janin yang dianggarkan berusia empat bulan di atas lantai tandas wanita masjid tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
“Ketika mahu memulakan kerja-kerja mencuci, saya ternampak objek seakan-akan janin atas lantai.
“Saya terkejut dan tak tahu nak cakap apa. Walaupun kecil memang boleh nampak janin sebab ada kepala dan nampak ada tangan dan kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid tersebut di sini, petang ini.
Kariza berkata, dia kemudiannya memaklumkan penemuan janin tersebut kepada ahli jawatankuasa masjid dan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan janin tersebut kira-kira pukul 3 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kita masih melakukan siasatan dan kita juga sedang mencari ibu yang mungkin keguguran sama ada mereka sedar atau tidak sedar.
“Kita percaya janin itu mungkin tertinggal atau ditinggalkan antara pukul 12 tengah malam hingga 12 tengah hari. Kita akan buat pemantauan di klinik berhampiran untuk mengesan ibu yang mungkin keguguran,” katanya.
Menurutnya, pihak polis turut melakukan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan kes tersebut mungkin disiasat dibawah seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
“Janin tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










