Tiada isu takut hilang jawatan dalam Kabinet jika tolak PRU15

Tiada isu takut hilang jawatan dalam Kabinet jika tolak PRU15 tahun ini

SAIFUDDIN Abdullah (tiga, kanan) melancarkan penubuhan Skuad Bencana Bersatu Indera Mahkota di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tiada isu takut hilang jawatan membabitkan menteri dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila menolak diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini seperti didakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, menteri dari parti itu dan Pas tidak pernah bincang pun soal jawatan dalam Kabinet.

Jadi, katanya, tidak ada istilah takut kehilangan jawatan seperti mana yang didakwa Ahmad Zahid.

“Saya tidak tahulah, tapi sebab kami menteri daripada Bersatu dan Pas tidak ada isu jawatan sebab ia adalah bersifat sementara dan jawatan ini pun bukan milik kami tapi milik parti.

“Kami ini wakil parti saja, jadi, kalau parti kata jadi (menteri) pada kami maka jadilah… kami tidak pernah bincang pun soal jawatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skuad Bencana Bersatu Indera Mahkota di Hotel Seri Manja di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut mendakwa, keputusan anggota Kabinet daripada PN itu kerana bimbang dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pendirian Bersatu adalah konsisten untuk menolak PRU15 diadakan hujung tahun ini berikutan beberapa kemungkinan terutama melibatkan bencana banjir.

“Bukan sahaja Bersatu yang menolak pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini, malah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga mencadangkan PRU15 diadakan tahun depan, sekitar bulan Mac.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH), mereka juga setuju pilihan raya diadakan tahun depan, jadi sekarang ini tinggal siapa lagi yang bersungguh-sungguh tetap mahukan PRU15 disegerakan ketika banjir?,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga merupakan Menteri Luar berkata, proses PRU sepatutnya dilakukan ketika rakyat berada dalam keadaan aman dan tidak terbeban dengan musibah seperti banjir.

“Pemilihan tarikh untuk PRU15 juga perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak merosakkan semangat anak muda yang dikategorikan sebagai pengundi kali pertama untuk keluar mengundi.

“Kalau boleh saya nak tanya anak muda, Undi18…. bila mereka mahu pilihan raya diadakan? Ketika mengundi nanti, kita mahu semua oramg dapat keluar mengundi beramai-ramai, barulah dinamakan demokrasi yang sihat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya