PETALING JAYA: Tanah seluas kira-kira 80 hektar di Pulau Meranti, Puchong yang pesat diusahakan dengan tanaman sayur oleh warga asing, didakwa sudah dipindah milik kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan dan pembangunan bercampur.
Utusan Malaysia difahamkan perkara itu dalam pengetahuan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (PDS) dan Julai lalu hasil siasatan, notis amaran pencerobohan di pondok-pondok haram yang dibina di kawasan tersebut telah diletakkan.
“Ketika siasatan dibuat, tanah tersebut didapati dalam proses pindah milik kepada sebuah syarikat swasta bagi tujuan pembangunan.
“Sekarang sepatutnya tanah tersebut sudah dikosongkan, kita sudah bagi tempoh beberapa bulan. Sebab lepas ini, kalau pemaju masuk, mereka masuk terus sebab akan jadi kawasan perumahan dan pembangunan bercampur di situ,” kata sumber ketika ditemui semalam.
Bagaimanapun, kata sumber itu, susulan pendedahan akhbar ini, pihaknya mengambil tindakan susulan termasuk menyiasat aktiviti pencerobohan tersebut sekali lagi dan mengambil tindakan sewajarnya berpandukan undang-undang.
“Sewaktu notis ditampal oleh Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, tanah tersebut dalam proses dipindah milik kepada sebuah syarikat. Tetapi waktu itu, belum selesai proses pemilikan sepenuhnya. Ia ada proses yang perlu dilalui, mereka kena bayar premium, tetapi waktu itu mereka belum buat lagi bayaran. Masih milik kerajaan, jadi notis itu betul. Tetapi, dalam proses pindah milik.
NOTIS
“Notis masa itu, kita tolong syarikat itu. Tetapi sepatutnya apabila sudah ada pemilikan, tanah itu tanggungjawab syarikat. Jadi, pemilik yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan penceroboh,” kata sumber.
Kelmarin akhbar ini melaporkan kira-kira 80 hektar tanah milik Kerajaan Selangor di Kampung Sungai Rasau, Batu 8, Puchong didakwa diceroboh warga Bangladesh dan Indonesia untuk projek tanaman sayuran kontan yang memberi hasil lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit.
Tinjauan ke kawasan yang diceroboh itu minggu lalu mendapati, di beberapa pondok haram yang dibina, terdapat notis amaran bertarikh 21 Julai, 2022 yang ditampal Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, bernombor fail PDS.T. 700-5/3/1-1/D/01-2022.
Notis itu menyatakan, jenis kesalahan yang dilakukan penceroboh di tanah itu adalah: “membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya di bawah Seksyen 425 (1) (b) Kanun Tanah Negara 1965.
Selain itu, dalam notis itu turut menyatakan bahawa: “Tuan/Puan telah didapati melakukan kesalahan melakukan aktiviti tanaman kontan di atas tanah kerajaan di bandar Cyberjaya, Mukim Dengkil, Daerah Sepang”.
DICEROBOH
Menjelaskan lanjut, sumber itu berkata, PDS akan mengambil tindakan susulan untuk melakukan siasatan sekali lagi ke atas tanah yang diceroboh tersebut bagi memastikan isu pencerobohan yang sedang berlaku boleh diselesaikan.
“Jadi masa kamu pergi buat tinjauan, masih tak kosong lagi tempat-tempat yang ada notis amaran ini? Tak mengapa, nanti pegawai kami akan turun,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber berkata, di Selangor memang terdapat banyak kes pencerobohan membabitkan tanah rentis iaitu rizab awam yang diwartakan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara atau yang dikuatkuasakan melalui Akta Bekalan Elektrik dan pihak berkuasa sentiasa mengambil tindakan berlandaskan peraturan undang-undang bagi menyelesaikan isu itu.
“Orang ceroboh tanah rentis ini, ada peraturannya. Jika ceroboh, kita akan mengambil tindakan mengikut peraturan. Berapa banyak orang menceroboh tanah rentis kalau disemak. Pencerobohan tanah rentis kena minta kebenaran, kena dapat kelulusan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), baru kita boleh bagi Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
“Tetapi biasanya susah mahu dapat, jadi ramai orang langgar saja. Kadang-kadang, ada tanah rentis yang lalu kawasan TNB, ada yang memang tanah milik, dia dapat izin untuk lalu. Jadi dengan izin itu, dia masih boleh tanam pokok tetapi tanaman kontan dan bukan tanaman berkayu yang pokok boleh tumbuh tinggi misalnya,” jelasnya.- UTUSAN










