Syarat 'ikat' calon

Syarat ‘ikat’ calon

PAS antara parti yang meneruskan bai'ah dengan calon-calonnya menjelang PRU15. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebanyakan parti politik mula mengenakan syarat tertentu bagi mengikat calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai jaminan tidak berlaku pengkhianatan mandat rakyat walaupun Akta Anti Lompat Parti telah dikuatkuasakan.

Langkah yang diambil beberapa parti politik itu bertujuan menjamin kestabilan kerajaan yang dibentuk selepas PRU, selain memastikan calon tidak melanggar arahan parti yang diwakili.

Setakat ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengenakan tiga syarat utama kepada calonnya antaranya bersetuju memulangkan deposit, pemotongan gaji serta mengisytiharkan harta.

Pas turut meneruskan bai’ah (sumpah perjanjian) yang mengikat calon-calonnya agar mengikut peraturan ditetapkan termasuk membayar ganti rugi sekiranya wujud pelanggaran akur janji.

Sementara itu, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, Barisan Nasional (BN) yang dijadual mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam PRU15, esok buat pertama kali bakal mengenakan syarat-syarat tertentu kepada mereka dalam borang akur janji.

Antaranya, wakil rakyatnya perlu mengikut keputusan parti, tidak boleh memperlekeh pemimpin dan parti serta sepakat dalam setiap usul yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Langkah itu dibuat bagi menghalang ulangan drama lompat sejurus BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila 16 ahli parlimen keluar UMNO dan menyertai parti lain.

“Borang akur janji tidak pernah berlaku pada banyak pilihan raya sebelum ini, tetapi buat julung kalinya pada PRU15, BN akan mengikat syarat kepada calon-calon pilihan raya,” katanya.

PKR minggu lalu mengenakan tiga syarat kepada calon-calon PRU15 apabila Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik sebagai berkata, tiga langkah tersebut akan dibuat terlebih dahulu sebaik sahaja beliau dipilih menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu diumumkan secara tidak langsung mendapat sambutan positif daripada rakyat.

“Tidak perlu ambil gaji Perdana Menteri dan ini menjadikan jumlahnya jauh lebih kecil. Gaji menteri pun akan turun banyak. Memang itu tidak besar, tapi itu melambangkan sikap pemimpin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bai’ah yang pernah dibuat pada setiap kali pilihan raya tetap dibuat pada PRU kali ini bagi ‘mengikat’ calon yang bertanding dan sentiasa patuh pada arahan parti.

“Semua calon Pas akan melafazkan bai’ah taat setia kepada parti selagi tidak bercanggah dengan syarak. Ia terpakai kepada ahli parti sahaja. Kepada bukan ahli Pas menggunakan logo Pas, mereka perlu menjalani proses ditetapkan oleh parti masing-masing seperti melepasi tapisan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) dan polis,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau berkata syarat tersebut terpakai kepada ahli parti sahaja dan bukan kepada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Gerakan yang kini merupakan rakan gabungan menerusi Perikatan Nasional (PN).

Tambah Tuan Ibrahim, ke semua calon yang bertanding menggunakan lambang Pas akan menerima watikah daripada Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bukan mengikut presiden parti masing-masing.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang, Datuk Adnan Seman berkata, langkah semua parti terlibat bagi menjamin kestabilan kerajaan walaupun negara telah menggubal Akta Anti Lompat Parti yang pada asalnya bertujuan menghalang wakil rakyat menyertai parti lain.

Ujarnya, syarat-syarat itu merupakan obligasi antara ahli dan parti agar calon mengikut syarat ditetapkan supaya tidak sewenang-wenangnya mengkhianati mandat rakyat.

“Bukan sahaja kepada parti, tetapi akur janji ini bagi mengikat perjanjian antara calon dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata setiap parti berhak mengenakan syarat kepada calon-calon selagi tidak melanggar undang-undang negara.

Katanya, pemeteraian syarat berkenaan dibuat mengikut undang-undang kontrak di antara calon dan parti masing-masing sebagai pengikat sekiranya mereka melanggar perjanjian seperti gagal mengikut peraturan ditetapkan.

“Walaupun kita sudah undang-undang sekatan lompat parti namun syarat-syarat ditetapkan ini merupakan antara ahli dan parti agar calon mengikut syarat ditetapkan. Misalnya mereka boleh menyertai parti lain, tetapi kena bayar ganti rugi.

“Jika ada pihak ingkar, maka parti boleh meneruskan tindakan undang-undang ke mahkamah sivil selagi mana ada hitam putih perjanjian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN