Suraya sah letak jawatan Exco Kedah

Suraya sah letak jawatan Exco Kedah

SURAYA YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob sah meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga dan Pengairan Saliran negeri berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu dalam kenyataan yang diedarkan oleh pegawainya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Exco di pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), di sini.

Tanpa menyatakan faktor berbuat demikian, Suraya berkata, beliau melepaskan jawatan tersebut secara rela hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas perkenan melantiknya untuk jawatan itu selama ini.

“Setinggi penghargaan juga kepada barisan rakan Exco serta kepimpinan kerajaan negeri, semua jabatan dan agensi kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darulaman (SADA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Juga kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pertubuhan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat Kedah yang selama ini memberikan kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar di bawah portfolio saya dapat direalisasikan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan desas desus peletakan jawatan Suraya semakin bertiup kencang termasuk tular satu majlis yang dihadirinya semalam bersama pegawai di bawah agensi dan jabatan portfolionya itu yang difahamkan sebagai meraikan perpisahan dengan Exco berkenaan.

Spekulasi juga bertiup kencang bahawa nama Suraya antara yang dihantar kepada pucuk pimpinan tertinggi parti untuk menjadi calon salah satu Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Sementara itu, ujar Suraya, beliau tidak akan lupa pada segala cabaran dan pengalaman membantu penyelarasan mempercepat projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

“Ia menyaksikan penerimaan manfaat bernilai RM2.62 bilion atas penstrukturan semula industri air negeri Kedah meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina dua buah LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang.

“Antara pengalaman berharga saya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan melibatkan dua buah Takungan Air Pinggiran Sungai TAPS (ORS 7 dan 9) bagi dibangunkan untuk kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan pada musim kemarau. 

“Berkat kesabaran, keikhlasan dan jati diri selaku anak jati Kedah, saya yakin diri ini telah memberikan sepenuh komitmen dan bekerja keras sedaya mungkin sebagai sebagaimana yang diamanahkan kerajaan negeri dan rakyat Kedah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.