SPRM digesa pantau aktiviti rasuah sepanjang PRU15 -

SPRM digesa pantau aktiviti rasuah sepanjang PRU15

MUZAFFAR SHAH MALLOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memantau aktiviti rasuah sepanjang perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, ini kerana semua calon dan parti politik yang masuk bertanding akan mula berkempen secara agresif bagi memikat para pengundi demi mendapatkan sokongan.

Menurut beliau, agensi itu perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki menawarkan atau memberi rasuah bagi mendapat sokongan undi daripada pengundi termasuk kempen yang dilakukan dalam media sosial.

Tambah Muzaffar, orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan SPRM untuk membendung aktiviti rasuah dalam memastikan proses kempen PRU15 ini berjalan lancar.

“Pihak SPRM perlu memberi peringatan tegas dan keras terhadap semua calon dan parti politik yang masuk bertanding sempena PRU15 supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang sogokan atau habuan kepada mana-mana pihak. 

“Para pengundi turut perlu diingatkan supaya tidak menerima sebarang jenis sogokan ataupun habuan daripada mana-mana calon.

“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan sebarang salah laku rasuah ini sama ada calon yang bertanding ataupun pengundi perlu segera disiasat, ditangkap dan didakwa di mahkamah untuk diberi hukuman yang setimpal. Tidak boleh ada sebarang kompromi atau belas kasihan di dalam salah laku melibatkan rasuah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU15 dalam masa terdekat.

Jelas Muzaffar lagi, sebagai agensi paling penting dalam memerangi rasuah, SPRM harus memainkan peranannya tanpa mengira apa bentuk rasuah sekalipun. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya