SEGAMAT: Pasukan Petugas Kontraban Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat merampas 61,000 liter minyak diesel bernilai RM130,350 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di sebuah gudang kosong di Kampung Logah, dekat sini petang semalam.
Ia adalah sindiket penyeludupan diesel bersubsidi terbesar berjaya ditumpaskan di daerah ini setakat ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, sepasukan pegawai dan anggota menyerbu gudang kosong di tepi jalan di kampung tersebut pada pukul 5.30 petang.
“Serbuan dilakukan selepas menerima maklumat risikan berlakunya aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi.
“Ketika serbuan, pasukan operasi mendapati tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak yang dipercayai diesel dari tiga tangki kecil ke sebuah lori menggunakan hos penyambung, mesin penyedut dan lima buah kompresor.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori tangki mendapati terdapat kira-kira 32,000 liter cecair yang dipercayai minyak diesel manakala tiga tangki kecil mengandungi kira-kira 29,000 liter minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hasil siasatan mendapati suspek tidak memiliki lesen sah atau dokumen kebenaran untuk urusan barangan kawalan berjadual.
“Selain minyak berkenaan, turut disita sebuah lori tangki serta peralatan lain yang digunakan di tempat serbuan dengan anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM270,350,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Kampung Logah.
Ahmad Zamry berkata, tiga lelaki rakyat tempatan dari Negeri Sembilan dan Melaka yang berusia antara 25 hingga 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Sindiket berkenaan turut dipercayai sedang merancang untuk membawa diesel subsidi berkenaan ke Pelabuhan Klang untuk dieksport keluar negara.
“Semua suspek yang ditahan berperanan sebagai pemandu lori dan pekerja am. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kes ini juga sudah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN