KUANTAN: Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin layak diangkat sebagai calon wanita dari Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, sejak beberapa pilihan raya umum (PRU) lalu, BN Pahang khususnya dilihat gagal menampilkan calon-calon wanita untuk diketengahkan.
Beliau berkata, pada 1995, BN meletakkan Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman di kerusi Parlimen Paya Besar dan beliau menang di situ sehingga PRU pada 2004 serta turut dilantik sebagai menteri Kabinet.
“Seorang lagi wanita BN dari negeri ini yang pernah dilantik sebagai timbalan menteri adalah Datuk Seri Maznah Mazlan, itu pun menerusi lantikan senator bukan ahli Parlimen.
“PSAP berpandangan, Shahaniza layak menjadi calon wanita BN seterusnya di negeri ini bertanding di kerusi Parlimen Maran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Haslihelmy berkata, penyandang kerusi Parlimen Maran dari BN, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib sudah empat penggal mempertahankan kerusi itu sejak 2004 dan sampai masanya beliau menyerahkannya kepada muka baharu.
“Jika melihat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara, tidak ada satu pun peruntukan melarang wanita dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, malah untuk jawatan Perdana Menteri sekalipun.
“Hak ini termaktub dalam Perkara 8(1) yang memberi kesaksamaan dari segi undang-undang dan Perkara 8(2) bahawa tiada diskriminasi ke atas seseorang itu atas nama agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina.
“Oleh kerana wanita adalah majoriti masyarakat di Malaysia, kehadiran mereka hendaklah bergerak pantas mengikut arus perdana,” katanya.
Jadi, beliau berkata, Shahaniza layak diangkat calon wanita di kerusi Parlimen di negeri ini serta diberikan jawatan dalam Kabinet jika BN menang dan membentuk kerajaan. –UTUSAN