Pura-pura bantu mangsa kemalangan sebelum larikan motosikal -

Pura-pura bantu mangsa kemalangan sebelum larikan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan lapan individu kerana disyaki melarikan sebuah motosikal milik seorang mangsa kemalangan di susur keluar Plaza Tol Gombak menghala ke Ampang dekat sini, Rabu lalu.

Mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 48 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan, pelayan kedai, peniaga serta suri rumah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa lelaki berusia 27 tahun menunggang Yamaha Y15 mengalami kemalangan kecil sebelum dua lelaki tidak dikenali menaiki sebuah motosikal datang membantunya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua lelaki itu membantu menghantar mangsa bersama motosikalnya pulang ke rumah di Lorong Kijang, Klang Gate, Ampang dekat sini dengan seorang daripada lelaki itu menunggang motosikal mangsa.

“Bagaimanapun, apabila sampai di rumah, mangsa mendapati motosikal ditunggang seorang lelaki yang membantunya itu tidak ada.

“Mangsa bertanyakan kepada lelaki yang membantu menghantarnya ke rumah itu, namun, lelaki terbabit terus beredar meninggalkannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, mangsa kemudiannya membuat satu laporan polis dan hasil siasatan, lapan individu warga tempatan termasuk dua wanita berjaya ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Setapak dan Lembah Klang, semalam.

Jelas beliau, selain tangkapan, polis turut merampas dua motosikal termasuk sebuah jenis Yamaha Y15 dipercayai milik mangsa serta sebuah lagi motosikal Honda dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Ujian saringan air kencing menunjukkan semua suspek positif dadah jenis Amphetamine.

“Hasil siasatan mendapati mereka merancang melarikan motosikal mangsa sebelum menjual komponen motosikal itu sebagai alat ganti,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, semua suspek kini direman empat hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan serta Seksyen 15(1)(a) Aktar Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada kumpulan ini terbabit dengan mana-mana kejadian curi motosikal lain di sekitar daerah Ampang Jaya,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN