GEORGE TOWN: Jawatankuasa DAP Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi menentukan sama ada Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, isu berkaitan pembubaran DUN Pulau Pinang itu akan diteliti oleh Jawatankuasa DAP Negeri dan keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat tersebut.
”Kita difahamkan pembubaran atau pengumuman akan dibuat petang ini, jadi, sebagai maklum balas pantas, Jawatankuasa DAP negeri akan bermesyuarat pada petang ini juga.
”Antara isu diteliti ialah sama ada DUN akan dibubarkan, tidak mengambil kira pengumuman sebelum ini, kita akan lihat sama ada DUN Pulau Pinang juga akan dibubarkan dalam tempoh sama.
“Kita akan lihat dan perlu buat keputusan juga mengenainya (mesyuarat petang ini),” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan Little India, di sini hari ini.
Menurut Kon Yeow, beberapa perkara lain berkaitan PRU-15 seperti soal calon, pilihan raya ketika musim monsun dan sebagainya juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa DAP Pulau Pinang itu.
”Bagi soal calon pula, sekiranya Parlimen bubar, mungkin kita akan bincang soal calon di peringkat Parlimen, itu jadi keutamaan berbanding calon untuk peringkat negeri,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada beliau terkejut sekiranya Parlimen dibubarkan hari ini, Kon Yeow berkata, gerakan untuk membubarkan Parlimen itu sudah boleh dilihat sejak minggu lalu.
”Memandangkan pelbagai gerak geri sejak minggu lalu serta makluman dalam media sosial menunjukkan hari ini (bubar Parlimen) akan sampai juga,” katanya. –UTUSAN