AMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa calon-calon PKR dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan isu-isu yang menindas rakyat ketika ini sebagai modal dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PH itu berkata, sememangnya betul gabungan itu mahu kuasa dan menggantikan Kerajaan Persekutuan, tetapi ia bertujuan untuk memelihara rakyat.
“(Kita mahu) henti rasuah penyelewengan, penindasan dan jaga hal-hal yang menyentuh hidup rakyat, kos hidup meningkat, harga barang meningkat dan minyak mentah.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling panjang di dunia di mana? Orang nak makan pun susah. Peratus kematian paling tinggi di mana? Tetapi datang mendabik dada kami berjaya..poodah.
“Gaji naik atau tidak? Gaji tak naik harga barang naik. Telur naik atau turun? Siapa kata naik..tak ada. 2022 negara merdeka telur pun tidak ada. (Zaman) BN, PN, UMNO, Pas telur pun tak ada,” katanya, malam ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pengumuman calon PKR di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.-UTUSAN