KOTA BHARU: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas 4,000 biji pil yaba dan sejumlah mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai 10,000 dalam serbuan di Kampung Sakar, Tendong, Pasir Mas, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, PGA turut merampas wang tunai berjumlah RM6,617, sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 dan tiga unit telefon bimbit serta empat keping kad ATM.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan tersebut, pihak polis telah menahan seorang suspek berusia 22 tahun yang berada di hadapan sebuah rumah pada pukul 7.31 pagi.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak polis, suspek bertindak melarikan diri dan dilihat membaling plastik berwarna putih ke dalam hutan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati, di dalamnya mengandungi 16 peket plastik berwarna biru dan empat paket plastik berwarna merah jambu berisi pil disyaki pil yaba dengan jumlah keseluruhan bernilai RM40,000.
“Hasil semakan ke atas mata wang dolar berkenaan mendapati wang berkenaan adalah palsu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan memiliki wang palsu,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, polis turut menahan dua lagi suspek berusia 25 dan 41 tahun dalam serbuan berasingan di Pengkalan Kubor, Tumpat dan Felda Kemahang 2, Tanah Merah.
Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bagi ketiga-tiga serbuan berkenaan adalah bernilai RM124,750 dan boleh digunakan oleh seramai 6,657 penagih dadah jika terlepas ke pasaran.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 18 sehingga 25 Oktober untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 39B akta dadah berbahaya 1952.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap semua suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah. Kita tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga kes ini ada hubung kait, namun siasatan lanjut akan dilakukan,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, polis tidak menolak kemungkinan kesemua bekalan dadah itu untuk pasaran tempat. –UTUSAN