KANGAR: “Kita akan tumpukan ke arah agenda pengukuhan PH (Pakatan Harapan),” demikian respon ringkas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika ditanya mengenai hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Hasrat Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu yang sanggup membuang ego untuk bertemu Anwar ke arah kerjasama GTA dan PH nampaknya sukar direalisasikan.
“Buat masa ini, parti hanya menumpukan kepada agenda pengukuhan PH. Saya dah komen banyak kali tentang hal ini, pada saya, kita tumpukan kepada pengukuhan PH,” kata Nurul Izzah ketika ditemui pemberita selepas meninjau salah sebuah rumah penduduk di sekitar Kampung Kota Kayang di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hasrat Dr. Mahathir untuk bertemu Anwar dalam usaha menjalinkan kerjasama semula dengan PH.
“Saya bersedia bertemu dengan Anwar kerana saya percaya dia juga berfikiran macam saya.
Kalau saya perlu memulakan langkah, saya akan lakukan. Orang nak kata saya tidak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya,” kata Dr. Mahathir.
Menerusi pautan sebuah video di laman sosial, bekas Perdana Menteri itu menekankan supaya parti-parti pembangkang bersatu bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Oleh itu, kata Dr. Mahathir, beliau sendiri mengetepikan perasaan peribadinya demi menggunakan formula sama iaitu penyatuan parti-parti pembangkang pada pilihan raya lalu bagi menumbangkan BN sekali lagi.
Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah yang juga Pengerusi PKR negeri memberitahu, PKR melengkapkan 80 peratus senarai calon yang akan bertanding di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, terdapat jawatan kuasa yang menilai pemilihan calon parti itu berdasarkan input diberikan di peringkat negeri dan cabang dalam menghadapi pertembungan sengit pada kali ini.
“PKR perlu menggandingkan calon muka baharu bersama dengan bakat sedia ada yang bekerja keras selama ini bagi membantu parti berkhidmat kepada rakyat.
“Berkaitan calon Menteri Besar pula, kita akan berbincang di peringkat PH di mana selalunya (pelantikan itu) dilihat selepas keputusan (PRU15), walaupun sudah ada bayangannya,” katanya. –UTUSAN