Pengusaha ikan dalam sangkar diminta cukupkan bekalan ikan  -

Pengusaha ikan dalam sangkar diminta cukupkan bekalan ikan 

MOHD. Suffian (tiga dari kiri) turut sama mengutip sampah bersama sukarelawan pada Program Pembersihan Pantai Bagi Kempen Bebas Plastik di Pantai Kelanang hari ini.-UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Pengusaha ternakan ikan sangkar di seluruh negara diminta membekalkan ikan secukupnya bagi menampung keperluan semasa pada musim banjir hujung tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Mohd.Suffian Sulaiman, buat masa ini, stok bekalan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) cukup untuk menampung keperluan semasa jika berlaku kekurangan sumber protein tersebut.

“Bagaimanapun, dalam situasi banjir, kita meminta pengusaha ternakan ikan dalam sangkar untuk membekalkan ikan mereka jika stok yang ada tidak mampu menampung keperluan semasa musim banjir yang dijadualkan hujung tahun ini.

“Sehubungan itu, kita akan memastikan pengusaha ternakan ikan menuai hasil mereka sebelum bencana banjir berlaku bagi memastikan bekalan cukup dan mereka tidak kerugian akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan Pantai Bagi Kempen Bebas Plastik di Pantai Kelanang di sini hari ini.

Mohd.Suffian berkata, pihaknya juga memastikan keselamatan dan kebajikan nelayan terjaga sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Katanya lagi, pihaknya melalui Pejabat Perikanan Daerah akan melaporkan keadaan cuaca harian dan jika ia tidak sesuai untuk aktiviti menangkap ikan, nelayan dinasihatkan tidak ke laut.

“Pengawasan juga dilakukan di laut bagi memastikan tiada aktiviti menangkap ikan dilakukan dalam keadaan cuaca yang tidak selamat.

“Sehubungan itu, kita menubuhkan pusat bencana di peringkat kementerian bagi menyalurkan bantuan-bantuan bagi membantu nelayan terlibat dengan bencana tersebut,”katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, nelayan-nelayan yang menangkap ikan di laut diminta bekerjasama mengutip sisa plastik dan bahan buangan yang tidak mudah lupus untuk dibawa pulang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya