PUTRAJAYA: Aspek pemulihan negara perlu dipacu menerusi pendekatan yang holistik dan inklusif bagi memperkukuhkan lagi kepelbagaian skim bantuan pihak kerajaan kepada rakyat.
Perkara itu antara usaha langkah ke hadapan yang disarankan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) demi memperkasakan mekanisme sistem bersepadu dicadangkan lebih sistematik.
Ia dirumuskan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ketika membacakan resolusi Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial.
“Langkah ini penting bagi menangani jurang pendapatan dan sosioekonomi merentasi wilayah sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama,” tegasnya menutup acara itu baru-baru ini.
Seminar sehari itu telah dirasmikan oleh Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut mengusulkan idea ditubuhkan sistem bersepadu penyaluran bantuan kepada masyarakat.
Inisiatif itu perlu dibangunkan untuk memudah cara proses koordinasi lebih menyeluruh dan berpusat ekoran ada individu dipinggir hanya kerana data maklumat diri tidak diselaraskan.
Muhyiddin malah mendedahkan, situasi janggal sedemikian masih lagi berlaku meskipun hampir semua agensi awam dan pihak kementerian menyediakan bantuan untuk kemudahan rakyat.
“Malangnya, ada nama yang didapati langsung tertinggal tanpa bantuan dan pada masa sama, ada pula individu menerima banyak bantuan daripada pelbagai agensi berbeza,” tambahnya.
Program dianjurkan MPN dan Institut Masa Depan Malaysia itu menampilkan pembentangan 12 penyelidik geran Program Pembangunan Dasa rdari pelbagai universiti di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, dengan diintegrasikan data penerima layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan dapat diagihkan lebih telus.
“Penyelarasan termasuk subsidi juga diberi secara cekap seberapa cepat mungkin kepada golongan sasar dan mekanisme ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin ketika berucap optimis sistem itu dapat mengenal pasti bantuan jangka pendek, sederhana dan panjang kepada yang layak serta mengurangkan birokrasi.
Konsep sistem itu secara automatik mampu mengesan situasi terkini individu seperti dibuang kerja untuk layak dibantu kerajaan selama tidak dapat bekerja bagi menyara ahli keluarganya.
Mekanisme ini jelas beliau, turut boleh menyusun semula segala bentuk manfaat untuk penerima sejak mereka lahir sehingga akhir hayat menerusi rangkaian data rentas agensi.
Pewujudan kaedah itu katanya, wajar disegerakan kerana menurut data e-Kasih setakat 30 Jun lalu, ketua isi rumah (KIR) dikategorikan miskin tegar meningkat kepada 145,000.
Angka ini naik daripada 45,000 pada 2020 lepas dan lebih perit, sekitar 600,000 KIR daripada kelompok M40 didapati jatuh kepada kategori miskin B40 ekoran pasca pandemik Covid-19.
Peningkatan ini mencerminkan realiti sebenar dialami rakyat dengan ramai terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, kos sara hidup atau penyusutan pendapatan.
“Jika tiada langkah intervensi diambil kerajaan, saya khuatir isu ini semakin teruk,” ujarnya. –UTUSAN