Pembinaan LCS disambung awal tahun depan - Utusan Malaysia

Pembinaan LCS disambung awal tahun depan

MOHD. Reza hadir Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dijangka dimulakan semula pada awal tahun depan selepas fasa mobilisasinya selesai hujung tahun ini. 

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, rundingan dengan pihak pengilang asal dan vendor berlangsung dengan baik.

“Projek LCS masih dalam fasa mobilisasi yang dijangka berakhir hujung Disember ini. Setahu saya, rundingan dengan OEM (pengilang asal) dan vendor-vendor berjalan dengan baik.

“Kita jangkakan pembinaan akan berjalan semula awal tahun depan,” katanya ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, di sini hari ini.

Menurutnya, dalam fasa mobilisasi yang bermula dari Jun lalu, pihak Boustead Naval Shipyard perlu melaksanakan rundingan dengan OEM bagi menggerakkan kerja pembinaan dan rundingan itu sudah pun selesai.

Kini ia dalam proses membentangkan hasil rundingan kepada Project Monitoring Committee’ (PMC) sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. 

Sementara itu, Mohd. Reza berkata kebanyakan aset TLDM perlu dinaik taraf kerana usianya ada yang menjangkau lebih 40 hingga 50 tahun.

Katanya, seperti kapal peronda generasi baharu (NGPV) sebahagian sistem dalam enam kapal yang dibina pada 10 tahun lalu itu sudah rosak dan perlu diganti, namun alat gantinya tidak dapat diperoleh dalam pasaran.

“Sudah tiba masanya untuk kita tukar sistem pada kapal ini kepada sistem baharu seperti sistem penderia (sensor) dan sistem persenjataan.

“Tetapi sebagai mana saya sebut semua tertakluk peruntukan disediakan kerajaan. Bukan sahaja NGPV tetapi kapal-kapal lain pun perlu dinaik taraf kerana masalah keusangan kerana lama sangat, 40 tahun 50 tahun sebelum saya masuk pasukan.

“Semua aset kita masih boleh digunakan, namun terhad, tertakluk kepada usianya. Selamat digunakan walau apa pun kita tidak berkompromi tentang keselamatan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 569 perajurit muda ditauliahkan sijil tamat latihan selepas memulakan latihan di KD Sultan Ismail sejak 20 Mei hingga 29 Oktober lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya