Pelajar SJKC, SJKT diminta bertutur bahasa Melayu bukan hanya ketika berpidato - Utusan Malaysia

Pelajar SJKC, SJKT diminta bertutur bahasa Melayu bukan hanya ketika berpidato

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Semua pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diseru menjadikan bahasa Melayu bukan hanya digunakan semasa pertandingan tetapi perlu diamalkan sebagai bahasa seharian di samping bahasa ibunda masing-masing.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bahasa Melayu bukan hanya untuk menjadi bahasa percakapan dan sebagai alat pidato semata-mata, tetapi mesti menjalar dalam sanubari masing-masing.

“Kita perlu mencari jalan agar osmosis budaya menjalar dalam kalangan Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Orang Sungai, Orang Ulu, dan kaum-kaum kita di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Inisiatif Memperkasa Bahasa Melayu (PIMBM) di Dewan Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini.

PIMBM yang dicadangkan Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San bertujuan untuk menumpukan penghasilan generasi celik bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar SJKC dan bagi memperkasa serta memartabatkan bahasa tersebut.

Selain itu, ia bertujuan bagi meningkatkan kesediaan dan keyakinan pelajar menghadapi pembelajaran di peringkat sekolah menengah ke arah Sifar Peralihan.

Dalam pada itu, Rais berkata, para guru diminta untuk menyemat kekitaan dalam kalangan para pelajar menerusi semangat Bahasa Kebangsaan.

“Bukan kekitaan dari segi agama sahaja, tetapi kekitaan menerusi Bahasa Kebangsaan. Dan secara itu, kita mesti teruskan menterjemah buku-buku tetapi buku-buku ini harus laku di sekolah-sekolah, laku di universiti dan laku dalam perjuangan bahasa sebagai perhubungan utama masyarakat tanah air kita,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN