fbpx

Pelajar rebah dan meninggal dalam kelas

GAMBAR kenangan Adam Iskandar Shah Rizal (kiri) bersama ibu-bapa dan dua adik perempuannya yang dirakam baru-baru ini sebelum dia meninggal dunia di sekolahnya di SMK Sungai Pasir Kechil, Sungai Petani di sini.

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir Kechil di sini meninggal dunia selepas rebah ketika sesi persekolahan baru dimulakan pagi ini.

Dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, Adam Iskandar Shah Rizal, 15, dimaklumkan rebah secara tiba-tiba menyebabkan rakan sekelasnya panik sebelum memberitahu pihak pengurusan sekolah.

Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Menurut ibunya, Junaidah Mat Saad ,42, arwah menunjukkan kelainan semasa hendak keluar dari rumah di Taman Kelisa Ria untuk ke sekolahnya hari ini.

“Sebelum ini, dia cukup berdisiplin memakai uniform seperti mana yang dikehendaki pihak sekolah dan jika tidak lengkap seperti tiada sarung kaki dia tidak mahu ke sekolah, berbanding hari ini dia sanggup pergi ke sekolah walaupun hanya memakai selipar kerana kasutnya basah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSAH, di sini hari ini.

Kata Junaidah, walaupun dia dan suaminya, Shah Rizal Ismail, 46, melarang anak mereka memakai selipar ke sekolah kerana takut dikenakan tindakan disiplin tetapi Adam Iskandar tetap berkeras untuk berbuat demikian.

“Kami menerima berita sedih kematiannya pada pukul 8.10 minit pagi daripada pihak sekolah yang turut memaklumkan anak kami telah dihantar untuk rawatan di hospital. Sebaik tiba di Jabatan Kecemasan, kami dimaklumkan dia meninggal dunia,” katanya.

Junaidah berkata, anaknya itu sebelum ini sering dirujuk ke hospital kerana mengalami masalah jantung tersumbat.

“Terbaru, minggu lepas dia dikejarkan ke sebuah klinik swasta kerana mengadu sesak nafas dan diberikan cuti sakit selama empat hari. Hasil keputusan bedah siasat kami dimaklumkan dia meninggal dunia kerana alami serangan jantung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan yang dihubungi mengesahkan kematian pelajar berkenaan.

“Hasil temu bual dengan keluarga pelajar itu mendapati dia mempunyai rekod perubatan membabitkan masalah jantung. Kematian pelajar ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan di HSAH hari ini,” katanya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN