Pekerja kilang tipu urus beli lembu korban direman empat hari -

Pekerja kilang tipu urus beli lembu korban direman empat hari

PEKERJA kilang yang didakwa terlibat dalam kes penipuan urusan pembelian ternakan lembu untuk ibadah korban dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kemaman di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN: Seorang pekerja kilang ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan urusan pembelian ternakan lembu untuk ibadah korban, Mei lalu. 

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 25 tahun yang merupakan penduduk tempatan ditahan polis di Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 10 malam, semalam.

“Kita menerima aduan daripada empat pengadu sekitar daerah ini yang mendakwa ditipu suspek yang mana suspek dikatakan menawarkan harga lembu yang lebih murah daripada harga pasaran untuk dijadikan ibadah korban.

“Suspek dikatakan menghantar gambar ternakan dan beberapa mangsa turut dibawa melihat lembu di kandang yang didakwa miliknya di Kampung Mak Chili bagi meyakinkan pembeli sebelum mereka membuat bayaran,” katanya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hanyan memberitahu,  pengadu tidak menerima lembu korban mereka hingga menyebabkan mangsa tidak dapat menjalani ibadah korban. 

“Suspek yang berjanji akan membayar kembali ganti rugi bertindak menghilangkan diri. 

“Bagaimanapun, hasil kerjasama semua pihak termasuk orang awam, kita berjaya menahan suspek malam tadi dan kita nasihatkan orang ramai yang turut menjadi mangsa, tampil membuat laporan polis,” katanya. 

Hanyan berkata, kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN