IPOH: Pas memberi jaminan bahawa agenda penyatuan ummah akan tetap diteruskan meskipun usaha itu tidak dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, usaha ke arah penyatuan itu tidak akan berhenti sebaliknya akan terus diperkasakan bagi memberi lebih manfaat kepada semua.
Malah, katanya, Pas juga tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana parti termasuk parti bukan Islam dan tidak bersifat ekstrem.
“Ini (penyatuan ummah) usaha kita, setiap usaha itu tidak semestinya mencapai kejayaan. Bagi Pas, kejayaan itu perkara kedua, yang pertama adalah usaha.
“Kita kena buat, kita kena bekerja. Hasilnya nanti bukan kerja kita. Itu kerja Allah. Allah akan nilai kerja bukan nilai hasil.
“Sebab itu saya sebut, kalau gagal yang ini, kita akan teruskan. Sebab penilaian Allah atas kerja dan usaha bukan atas hasil,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Dana PRU-15 Pas Perak di sini semalam.
Menurut beliau, usaha untuk menyatupadukan Pas dan UMNO sudah lama bermula sehinggalah idea itu bercambah dan diterima masyarakat dan kepimpinan.
“Sebenarnya, Pas ini, apa yang tidak elok itu kita sudah bersihkan, sucikan dan berpadu elok. Kita tidak mahu balik ke tahun 70-an dan 80-an. Orang Melayu sudah berpadu elok, masyarakat di kampung pun sama. Kenduri, sakit, demam dan mati semua pakatan elok. Kenapa kita nak rosakkan?
“Kita sudah banyak berkorban, banyak bersusah untuk dapat tahap yang kita capai sekarang. Jadi kerana itulah seruan ini kita tidak akan berhenti. Insya-Allah,” katanya. –UTUSAN