Pas Terengganu tunggu arahan Pusat bubar DUN -

Pas Terengganu tunggu arahan Pusat bubar DUN

HUSAIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pas negeri menunggu arahan terbaharu daripada Pas Pusat mengenai keputusan sama ada kekal dengan keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sebaliknya, kata Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, Pas Terengganu tidak akan membubarkan DUN walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini untuk memberi peluang diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) .

Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad  Samsuri Mokhtar  dalam tempoh terdekat.

“Saya tidak dimaklumkan lagi sama ada Pas negeri masih kekal dengan keputusan tidak  membubarkan DUN selepas Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen petang ini.

“Keputusan tersebut akan diketahui selepas Pas negeri mengadakan mesyuarat mungkin pada hari ini atau esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Hari ini,  Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.

Husain memberitahu, Pas juga akan membuat keputusan tarikh untuk mengadap Sultan Terengganu. Sultan Mizan Zainal Abidin untuk memaklumkan keputusan kerajaan negeri berhubung pembubaran Parlimen pada Rabu ini.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Hanafiah Mat berkata, setakat ini, Pas Terengganu masih bersandarkan kepada keputusan pucuk pimpinan yang terdahulu iaitu DUN negeri tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023.

Menurutnya, keputusan itu adalah konsisten untuk semua negeri yang kini ditadbir Pas iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Walaupun Parlimen telah dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15, kita tidak akan membubarkan DUN,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelasnya, keputusan tersebut adalah tertakluk kepada sebarang perubahan yang difikirkan sesuai oleh pimpinan tertinggi Pas di peringkat Pusat.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, 22 dimenangi Pas iaitu Chukai, Air Putih, Kemasik, Paka, Rantau Abang, Sura, Pengkalan Berangan, Alor Limbat, Bukit Payong, Rusila, Kuala Berang, Ajil, Manir, Ladang, Wakaf Mempelam, Bandar, Batu Buruk, Bukit Tunggal, Tepoh, Buluh Gading, Jabi dan Kota Putera.

Baki 10 kerusi adalah milik UMNO iaitu Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN