Negara mampu capai sasaran KDNK tujuh peratus tahun ini - PM -

Negara mampu capai sasaran KDNK tujuh peratus tahun ini – PM

ISMAIL SABRI Yaakob bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 peratus hingga tujuh peratus dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama 2022 iaitu sebanyak 8.9 peratus.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menegur pembangkang yang sering mendakwa kononnya negara bukan lagi destinasi pelaburan asing sedangkan bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM47.4 bilion.

Beliau berkata, dalam tempoh setahun juga, Kerajaan Persekutuan berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021.

“Kerajaan juga sentiasa memantau kesan inflasi kepada harga barangan asas hingga berjaya mengawalnya ke tahap lebih rendah berbanding negara serantau.

“Bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion. Subsidi terbesar dalam sejarah.

“Daripada jumlah itu, lebih 50 peratus adalah untuk subsidi petrol, diesel dan LPG iaitu RM41.7 bilion, bantuan terus kepada rakyat seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian bernilai RM25.7 bilion dan RM5.8 untuk tarif elektrik,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Ayer Keroh di sini hari ini.

Tambah Perdana Menteri, sektor pelancongan Melaka akan terus diperkasakan menerusi projek Ecotourism Paya Lebar dengan peruntukan RM2.3 juta dan projek menaik taraf Kolam Air Panas Gadek sebanyak RM17.9 juta.

Jelasnya, kerajaan turut meluluskan beberapa projek pemulihan, pemuliharaan, ubahsuai dan naik taraf (PPUN) dengan nilai peruntukan RM5.9 juta terhadap fasiliti pelancongan yang tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik.

“Beberapa bantuan dan inisiatif turut diberi kepada penggiat pelancongan, misalnya pada tahun ini, sebanyak RM1.9 juta telah disalurkan kepada penggiat pelancongan di Melaka termasuk pengusaha inap desa dan hotel, pemandu pelancong dan agensi pelancongan.

“Bagi memastikan Keluarga Malaysia terus menikmati infrastruktur yang selesa dan selamat, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM22.3 juta untuk menyenggara jalan Persekutuan di Melaka,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya