ALOR SETAR: Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bekas Menteri Besar itu memberitahu, beliau berhasrat untuk terus berkhidmat kepada penduduk di kawasan tersebut yang disandangnya sejak 2008.
“Walaupun banyak yang diusahakan bagi kesejahteraan warga Jerlun, kami sedar masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Maka, saya menawarkan diri untuk terus mewakili Jerlun sebagai Ahli Parlimen.
“Saya dan seluruh Parti Pejuang Tanah Air yang menjadi komponen Gerakan Tanah Air mohon diberikan kepercayaan untuk berkhidmat di Parlimen Jerlun sekali lagi,” katanya dalam satu rakaman video dalam akaun media sosial miliknya malam tadi.
Menteri Besar dua kali ini turut menyifatkan sokongan yang konsisten daripada penduduk di kawasan berkenaan kepadanya menjadi dorongan kuat untuk terus berkhidmat di situ.
Mukhriz yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Othman Aziz dan Pas, Abd Ghani Ahmad dengan majoriti 5,866 pada PRU14.
Baru-baru ini, penyandang Parlimen Langkawi, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU15. –UTUSAN