Misi MHO selamat mangsa culik di Kemboja - Utusan Malaysia

Misi MHO selamat mangsa culik di Kemboja

TANGKAP layar daripada rakaman video yang menunjunjukkan wakil Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Shafiq (Tengah) memaklumkan kepada orang ramai tentang misi menyelamatkan mangsa penipuan sindiket kerja di Kemboja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukarelawan  Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berada di Phnom Penh, Kemboja bagi menyelamatkan mangsa-mangsa culik dan penipuan sindiket kerja di negara itu.

Wakilnya, Azirul Shafiq berkata, mereka dalam  misi menyelamat mangsa-mangsa yang terkandas  sejak sekian lama disebabkan gagal mendapatkan bantuan sepatutnya.

Menurut beliau, MHO akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa mahupun pihak-pihak tertentu untuk menjalankan misi menyelamat mangsa atau mangsa sendiri boleh menghubungi talian hotline MHO untuk diselamatkan.

“Kami pihak MHO berada dengan mangsa dan kita lihat di sini, ada ramai mangsa yang terkandas, ada dua minggu, ada sebulan. Mereka ini memerlukan bantuan  dari segi pengurusan serta kos-kos untuk pulang.

“Saya hadir ke sini semalam (18 Oktober) dan kami akan membantu mereka tentang bagaimana prosedur untuk bawa mereka (mangsa) pulang,” kata beliau menerusi satu video di laman MHO.

Kata Azirul, bagi mangsa-mangsa lain yang memerlukan bantuan, mereka juga boleh menghubungi talian hotline MHO iaitu 011-29050000.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, terdapat sebilangan rakyat Malaysia terkandas di Kemboja kerana diperdaya dengan sindiket penipuan kerja dan diculik untuk menjalankan aktiviti-aktiviti haram seperti penipuan dalam talian.

KOMITED

Sehubungan itu, kerajaan menyatakan bahawa mereka komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Malah, kerajaan Kemboja juga memberi jaminan untuk menyelamatkan mangsa penipuan sindiket kerja melibatkan rakyat Malaysia yang masih hilang di negara tersebut.

Mengulas lanjut, Azirul berkata, beliau bersama MHO akan meneruskan misi-misi menyelamatkan mangsa di negara tersebut supaya dapat dibawa pulang ke tanah air dengan segera.

“Dalam masa terdekat, saya daripada pihak MHO bersama dengan rakan-rakan di sini akan menyelamatkan puluhan mangsa di kawasan-kawasan lain. Sudah tentu mereka ini memerlukan bantuan daripada ramai pihak, bantuan daripada kerajaan untuk diambil tindakan yang cepat agar mangsa-mangsa ini dapat pulang,” katanya.

Kata beliau, mangsa-mangsa yang terkandas di negara tersebut  tidak menduga mereka ditimpa masalah kerana mencari kerja.

“Mereka ini juga tidak  mahu untuk jadi seperti ini, ada setengah daripada mereka diculik daripada sempadan Vietnam lalu dibawa secara tidak sah sehingga ke Kemboja. Mereka juga bukanlah mahu bekerja dengan sindiket, ada yang ditipu dijanjikan pekerjaan di kilang atau tempat-tempat lain dan sebagainya.

“Tetapi mereka telah pun dijual kepada sindiket-sindiket yang lain, mereka ini tidak dibayar gaji serta mereka tidak ada pendapatan walau satu sen pun, maka saya amat mengharapkan agar ramai pihak dapat membantu agar mangsa ini dapat pulang ke tanah air dengan cepat.

“Mana-mana pihak yang ingin membantu turut boleh menghubungi MHO di talian hotline,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN