MB, exco diminta bezakan program rasmi, kempen politik -

MB, exco diminta bezakan program rasmi, kempen politik

AZMI ROHANI (tengah) menyampaikan writ kepada Pegawai Pengurus PRU15 Johor di Hotel Holiday Inn, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar dan barisan exco dimaklumkan untuk membezakan program rasmi kerajaan dan kempen politik sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri  Dr. Azmi Rohani berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat exco yang lalu.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati ketetapan pihak berkuasa sepanjang tempoh berkenaan dan tidak melakukan sebarang salah laku.

“Pilihan raya kali ini berbeza kerana ia dilaksanakan dalam situasi kerajaan negeri masih beroperasi seperti biasa, kerana pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak berlaku serentak seperti sebelum ini.

“Secara pentadbiran, mereka dimaklumkan dalam mesyuarat exco yang lepas iaitu tidak boleh berkempen dengan menggunakan imej dan lambang parti ketika program rasmi kerajaan negeri yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan.

“Jadi, mereka perlu bezakan perkara yang melibatkan kempen politik dan urusan kerajaan, kedua-dua perkara itu tidak boleh dicampuradukkan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Writ Kepada Pegawai Pengurus PRU15 Johor dan Penyampaian Amanat di Hotel Holiday Inn, di sini malam tadi.

Azmi bagaimanapun memberitahu, pemantauan yang dibuat akan lebih menjurus terhadap penggunaan lambang dan logo parti berbanding ucapan.

“Berkempen dalam ucapan itu agak sukar untuk kita kenal pasti secara terus kerana ini bergantung terhadap persepsi masing-masing, tetapi, kita lebih kepada fizikal seperti lambang dan sebagainya.

“Disebabkan kita masih ada kerajaan negeri sepanjang tempoh berkempen, jadi, akan ada program dilaksana, namun, ia perlu dibuat mengikut kaedah dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Pihaknya turut memaklumkan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri melakukan persediaan sewajarnya bagi menghadapi PRU15 dalam musim tengkujuh, khususnya, sekiranya berlaku banjir.

“Johor pernah mempunyai pengalaman melaksanakan pilihan raya dalam keadaan banjir iaitu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang apabila beberapa pusat mengundi dinaiki air sehingga ke paras lutut.

“Proses mengundi bagaimanapun tetap diteruskan dan berjalan seperti biasa, namun kita akui perkara ini antara cabaran yang kita bakal hadapi khususnya di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

“Namun, menurut ramalan, pusat pengundian yang ditetapkan dijangka tidak dinaiki air sehingga memutuskan laluan perhubungan keluar dan masuk ke kawasan berkenaan, malah kita juga telah adakan latihan simulasi sekiranya berlaku situasi tersebut,” tambahnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya