Lima syarikat makanan ayam dikesan terlibat perjanjian kartel - Utusan Malaysia

Lima syarikat makanan ayam dikesan terlibat perjanjian kartel

ROSOL Wahid (barisan belakang, lima dari kiri) bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan dari Food Bank Malaysia di UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lima syarikat pengeluar makanan ayam  yang dikesan terlibat dengan perjanjian kartel diberi tempoh sehingga 19 Disember depan untuk mengemukakan representasi mereka kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, tempoh itu diberikan untuk membolehkan syarikat-syarikat itu memberikan hujah bagi menjawab bukti lain yang dikemukakan  oleh MyCC berhubung keputusan cadangan mengenai penglibatan mereka dalam perjanjian kartel. 

“Hasil siasatan awal MyCC mendapati ada bukti  kuat kaitan lima syarikat ini dengan perjanjian kartel dedak ayam. Oleh itu mereka perlu mengemukakan bukti untuk membantah keputusan cadangan itu.

“Proses seterusnya untuk memutuskan sama ada lima syarikat itu bersalah atau tidak akan dimuktamadkan oleh MyCC setelah meneliti representasi dikemukakan,” kata beliau selepas merasmikan Program CA2010@University dan Majlis Ramah Mesra Bersama Food Bank Malaysia untuk pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia.

Hasil siasatan awal MyCC terhadap lima syarikat tersebut didapati mereka melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan terbabit perjanjian antipersaingan atau lebih dikenali sebagai perjanjian kartel.

Lima syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd; FFM Berhad; Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd; Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

Semua kesalahan itu dikesan dilakukan antara awal 2020 hingga pertengahan 2022.

Mengulas lanjut, Rosol berkata,  syarikat tidak boleh terlibat dengan perjanjian kartel kerana  menyebabkan berlakunya manipulasi harga yang membebankan rakyat.

“Bekalan juga sering terganggu menyebabkan rakyat resah kerana kartel ini menguasai pasaran tempatan yang impaknya sangat negatif untuk kehidupan harian rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN