Lelaki dikompaun RM130,000 lombong nadir bumi di Bukit

Lelaki dikompaun RM130,000 lombong nadir bumi di Bukit Enggang

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang melakukan kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, dikompaun RM130,000.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, kompaun itu dikenakan terhadap individu berusia 40-an itu setelah selesai siasatan dan mendapat keizinan Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, kompaun itu dikenakan bukan sahaja melibatkan kesalahan melakukan aktiviti dilarang dalam hutan simpan, tetapi, memasuki kawasan itu tanpa permit sah.

“Kegiatan melombong mineral secara haram adalah kesalahan mengikut Enakmen Mineral Negeri Kedah iaitu di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 3 Oktober lalu, Utusan Malaysia mendedahkan negara mungkin sudah kerugian mencecah bilion ringgit apabila nadir bumi di hutan simpan itu dilombong secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, JPNK bertindak menyerbu Kompartmen 12 hutan simpan berkenaan dan menahan seorang lelaki bersama hasil nadir bumi yang bernilai jutaan ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kemudian mengesahkan kegiatan mencuri REE itu tidak membabitkan kerajaan negeri atau syarikat yang diberikan lesen meneroka mineral itu di tapak tersebut.

Sementara itu, Mohamad berkata, JPNK akan meneruskan tindakan bagi menyita peralatan dan mesin yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Kita akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan hutan simpan negeri ini bagi mengelak kejadian sama berulang.

“JPNK juga meminta masyarakat membantu mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan berhampiran mereka dengan maklumkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya