Laporan Pasukan Petugas Khas Tommy bersalah? - Utusan Malaysia

Laporan Pasukan Petugas Khas Tommy bersalah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas yang mengkaji buku My Story: Justice In The Wilderness menyenaraikan sembilan ele­men kemungkinan salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tom­my Thomas.

Antaranya campur tangan Tom­my dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia ke­­rajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk me­wakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Selain itu, Tommy turut tidak patuh dengan peraturan dan pe­­keliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bu­ngah, Pulau Pinang.

Bekas Peguam Negara era Pa­katan Harapan itu turut dikesan melakukan pecah amanah apabila beliau mendedahkan per­bualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Berdasarkan laporan setebal 822 muka surat bertajuk Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness Tulisan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara yang di­nyahsulit kelmarin dan diperoleh Utusan Malaysia, Pasukan Petugas Khas berkata, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen.

Ini termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

PERSEPSI

Laporan itu menyebut, dalam satu bahagian buku tersebut turut mencetuskan persepsi bahawa penyingkiran bekas Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad seolah-olah dilakukan demi ke­pentingan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

“Apa yang merisaukan ialah Tommy menegaskan dalam bukunya bahawa pasti memalukan bagi Ketua Hakim Negara Raus dan Hakim Zulkefli untuk bertemu Tun Dr. Mahathir, yang merupakan seorang litigan di hadapan mahkamah yang meminta penyingkiran mereka daripada jawatan.

“Dengan mengandaikan bahawa kenyataan ini adalah benar, ia akan menimbulkan persepsi dalam fikiran orang yang waras bahawa kedua-dua hakim tertinggi itu terpaksa melepaskan jawatan kerana Dr. Mahathir adalah seorang litigasi di mahkamah mereka, dan penyingkiran mereka adalah demi kepentingan Perdana Menteri,” kata laporan tersebut.

Laporan sama menyatakan Tommy telah melibatkan diri dalam pelantikan anggota kanan Mahkamah Tinggi, sedangkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelantikan Kehakiman, 2019, tiada peranan boleh dimainkan Peguam Negara dalam pelantikan hakim ke Mahkamah Tinggi.

“Dalam keadaan itu, penglibatan aktif Peguam Negara dalam pelantikan kehakiman boleh mewujudkan persepsi tentang pertalian rapat antara Peguam Negara dan pegawainya, dengan Badan Kehakiman. Ini situasi yang beliau sendiri nyatakan kebimbangan dalam bukunya,” kata laporan itu.

KETEGANGAN

Pada masa sama, laporan itu menegaskan bahawa Tommy melalui bukunya didakwa cuba mencetuskan ketegangan antara kaum di Malaysia, malah menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak cuba melakukan rampasan kuasa melalui peristiwa 13 Mei, 1969.

Pasukan Petugas Khas itu berkata, perkara itu merujuk kepada muka surat 28 buku Tommy, yang menulis: “So why did hundreds of Malay youths brandishing parangs, krises and knives turn on their fellow citizens, the Chinese, and to a lesser extent, the Indians, on the evening of Tuesday, May 13th 1969? The evidence points to a coup by Tun Razak, the Deputy Prime Minister and UMNO’s Deputy President.”

Kata laporan itu, tulisan tersebut berbaur hasutan dan harus disiasat di bawah tiga akta iaitu Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 124I Kanun Keseksaan.

Menjelas lanjut, laporan tersebut menyebut terdapat juga kekurangan ketelusan dan integriti dalam cara peguam luar dipilih atau dilantik.

‘’Seperti isu pemecatan peguam yang dilantik oleh Kementerian Industri Utama ketika Malaysia mencabar undang-undang diskriminasi Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak sawit, yang kemudiannya melantik peguam asing dari luar negara,” kata laporan itu.

PANEL

Laporan itu turut memasukkan Tommy enggan bekerjasama dengan panel Pasukan Petugas Khas bagi membantu siasatan berhubung bukunya yang mencetuskan kontroversi.

Pasukan Petugas Khas yang diketuai Pengerusi, Datuk Seri Fong Joo Chung turut disertai lapan ahli, dan mula ditubuhkan sejak 8 Oktober, 2021 bertujuan menjalankan kajian awal terhadap semua pendedahan kepada umum oleh Tommy Thomas dalam buku itu.

Laporan itu menjelaskan bahawa Pasukan Petugas Khas itu tidak ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), dan mereka tidak mempunyai kuasa untuk memaksa atau memanggil mana-mana orang, badan atau organisasi untuk memberikan maklumat, fakta atau dokumen untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan.

Tommy dalam surat bertarikh 5 Januari 2022 kepada Pengerusi Pasukan Petugas Khas mempersoalkan penubuhan pasukan tersebut selain menyatakan beliau tidak akan memberi kerjasama.

“Oleh itu, Pasukan Petugas Khas tidak dapat mengesahkan kenyataan yang ditulis oleh Tommy dalam bukunya,” katanya.

Akhbar ini juga cuba menghubungi nombor yang didakwa dimiliki oleh Tommy, namun lelaki yang mengangkat telefon berkata: “wrong number”.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa menyiasat kemungkinan salah laku membabitkan Tommy susulan buku beliau.

Ahad lalu, polis memaklumkan pasukannya menyiasat isu buku Tommy telah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk siasatan lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya