GEORGE TOWN: Rakyat akan terus diheret dengan konflik politik berpanjangan jika terdapat kerajaan negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU15) diadakan.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, mandat untuk kerajaan negeri yang enggan membubarkan DUN seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan hanya tinggal enam bulan sahaja dan keputusan pimpinan negeri berkenaan hanya merugikan wang rakyat.
”Mandat kerajaan negeri yang tidak mahu membubarkan DUN bukannya panjang lagi, mereka hanya ada sekurang-kurangnya masa enam bulan sahaja untuk terus berkuasa.
“Sepatutnya mereka kembalikan kuasa memilih kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya secara serentak supaya Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang stabil dapat dibentuk.
“Rakyat tidak wajar diheret dalam konflik politik berpanjangan hanya kerana keengganan pemimpin membubarkan DUN serentak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRU-15 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu memutuskan DUN bagi tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak dibubarkan sebelum bulan Mac tahun depan.
Perkara sama turut diumumkan
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang berkata, langkah untuk tidak membubarkan DUN melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilaan adalah selari dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yussof berkata, peluang untuk PH dan Pas menang semula di negeri-negeri yang diterajui tipis sekiranya mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan.
”Selalunya corak pengundian melibatkan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri adalah selari.
“Jika Barisan Nasional (BN) menang di peringkat Perlimen lalu berjaya membentuk kerajaan baharu, maka peluang untuk PH dan Pas menang di peringkat negeri adalah tipis,” katanya.
Tambahnya, masa untuk pimpinan PH dan Pas Pusat untuk membuat keputusan masih ada dan mereka dinasihatkan membubarkan DUN serentak supaya kestabilan politik negara dapat dicapai selepas PRU-15. –UTUSAN










