PUTRAJAYA: Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta memberikan sokongan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 demi kepentingan kesihatan awam di negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, secara dasarnya, ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) secara konsensus bersetuju dengan laporan penyata serta cadangan pindaan-pindaan yang perlu dibuat ke atas RUU ini.
Beliau berkata, semalam, JKPK membentangkan laporan penyata yang mengandungi butiran prosiding serta rumusan dan syor JKPK bagi menambah baik RUU ini.
“Sebanyak 23 pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dikemukakan pada sesi perbahasan di Sidang Dewan Rakyat kali ini.
“Secara keseluruhannya, JKPK ini bermesyuarat sebanyak lima kali dengan semangat bipartisan yang matang dan harmoni bagi memperhalusi peruntukan di dalam RUU,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, JKPK Menimbang RUU ini dianggotai 13 orang Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan parti masing-masing.
Khairy berkata, JKPK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dengan mengemukakan pandangan serta cadangan berkaitan RUU ini.
Menurutnya, penghargaan turut diberikan kepada Parlimen Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas sumbangan diberikan untuk memastikan fungsi JKPK dilaksanakan berlandaskan terma rujukan selaras dengan tujuan penubuhannya.
Bacaan pertama dan kedua RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibuat pada 27 Julai dan 1 Ogos yang lalu.
Seterusnya satu usul bagi merujuk RUU kepada JKPK Menimbang RUU dibuat pada 2 Ogos dan dipersetujui oleh Dewan Rakyat. –UTUSAN