Kemasukan penuntut antarabangsa ke UUM meningkat -

Kemasukan penuntut antarabangsa ke UUM meningkat

HAIM Hilman Abdullah (kanan) beramah mesra bersama sebahagian 4,067 pelajar baharu kemasukan semester pertama sesi 2022/2023 UUM yang bermula secara fizikal sepenuhnya hari ini di Sintok, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat peningkatan kemasukan penuntut antarabangsa sebanyak 13.97 peratus bagi sesi 2022/2023 yang bermula secara fizikal sepenuhnya hari ini.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah, perkembangan positif itu membuktikan agenda pengantarabangsaan universiti berkenaan sejak sedekad lepas membuahkan hasil memberangsangkan.

Katanya, sesi kali ini menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa sebanyak 13.97 peratus iaitu sebanyak 205 berbanding kemasukan tahun lalu iaitu 93 pelajar.

“Peningkatan ini pertamanya adalah hasil usaha universiti dalam konteks mempromosikan program kita di pasaran antarabangsa. Selain promosi, usaha dilakukan universiti sejak dahulu lagi khususnya 12 tahun terakhir ini dalam agenda pengantarabangsaan kita berpandukan kepada pelan strategik sudah membuahkan hasil. 

 “Di mana agenda kita dalam ranking dunia meningkat daripada tidak pernah berada dalam carta sekitar 2011 dahulu hari ini kita masuk senarai 481 terbaik di dunia. Jadi, ini satu pencapaian besar bagi sebuah universiti seperti UUM daripada keseluruhan 20,000 hingga 30,000 universiti seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, penuntut antarabangsa yang paling ramai mendaftar adalah dari negara Indonesia iaitu sebanyak 89 orang diikuti Jepun dan China masing-masing empat pelajar dan tiga lagi dari Perancis.

“Semua pelajar antarabangsa ini mula mendaftar sejak 13 September lalu secara dalam talian,” jelasnya.

Beliau menambah, UUM menerima kemasukan 4,067 pelajar baharu terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) selain pelajar antarabangsa.

“Mereka akan mengikuti 47 program pengajian yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda. Daripada jumlah tersebut, 2,995 merupakan pelajar perempuan manakala selebihnya, 1,072 adalah pelajar lelaki.

“Bagi Sesi Akademik 2022/2023, UUM turut menawarkan program mobiliti kepada pelajar antarabangsa di peringkat Sarjana Muda. Seramai 2,236 atau 59.49 peratus pelajar baharu yang mendaftarkan diri pada hari ini terdiri daripada golongan B40 atau pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah,” jelasnya.

Tambah beliau, kali ini, UUM menerima 10 penuntut daripada kategori orang kurang upaya (OKU) dan lapan pelajar Orang Asli.

“Sehingga Oktober tahun ini, jumlah keseluruhan pelajar UUM adalah seramai 33,658 orang iaitu 27,732 bagi peringkat pengajian sarjana muda dan 5,926 bagi pasca-siswazah,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya