PETALING JAYA: Pengamal media tidak boleh terikat dengan definisi kegusaran awam sehingga mereka didakwa di mahkamah hanya kerana berita- berita tersebut tidak menepati kehendak atau cita rasa pihak tertentu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, ini kerana sebarang sekatan ke atas media denga apa jua medium bukan sahaja menyalahi kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar hak asasi manusia.
Menurut beliau, media sewajarnya diberi kebebasan bersuara dengan melaporkan apa yang berlaku kepada masyarakat selagi laporan-laporan tersebut tidak melanggar undang-undang atau menimbulkan fitnah.
“Akta Hasutan 1948 sendiri menggariskan definisi hasutan dengan membabitkan tiga aspek iaitu tidak boleh menyentuh kedudukan orang Melayu, raja-raja dan bahasa Melayu. Jika tidak menyentuh perkara ini, maka tidak wajar mana-mana pengamal media didakwa kerana kononnya mencetuskan kegusaran awam dan tidak menyebelah pihak tertentu.
“Media ada peranan sendiri untuk melaporkan maklumat kepada masyarakat. Jika disekat, bagaimana mereka hendak memainkan peranan masing-masing tanpa digugat oleh pihak tertentu,” katanya.
Sebelum ini, bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn Bhd, Ahmad Azam Mohd Aris, dihadapkan ke dua mahkamah majistret atas dua pertuduhan memfitnah seorang individu bergelar ‘Datuk’ dan empat syarikat menerusi penyiaran dua artikel dalam The Edge Malaysia.
TERIKAT
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, pengamal media terikat dengan etika kewartawanan sekali gus mereka tidak mudah melaporkan berita yang boleh mencetuskan kegusaran dan berbentuk fitnah.
“Media ada batasan tersendiri dan setiap laporan dinilai para editor untuk memastikan kualiti dan penyampaian mematuhi kehendak pembaca dan mematuhi undang-undang, jadi mereka tahu apa yang hendak dilaporkan.
“Jadi janganlah menghalang media untuk melaporkan kepada umum jika masih menepati batasan. Maka pengamal media bebas membuat laporan selagi berita dilaporkan berasas dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.
Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan corak pemberitaan sesebuah akhbar, pihak-pihak tersebut boleh memberikan penjelasan kepada media terlibat.
Menurut beliau, langkah tersebut lebih ‘harmoni’ berbanding membawa perkara berkenaan ke mahkamah sekali gus menunjukkan tiada kebebasan bersuara dan media di negara ini.
“Tidak dinafikan kita ada undang-undang untuk mengawal fitnah, tetapi bukan untuk sewenang-wenangnya. Namun jika ada pihak tidak puas hati. mereka boleh memanggil wartawan atau berkenaan bagi memberikan penjelasan dan meminta mereka membuat permohonan maaf.
“Ini adalah lebih baik dan pihak berkenaan boleh menjelaskan perkara sebenar manakala media terlibat boleh membuat pembetulan dan mohon maaf, jika ada kesilapan. Perlu ada ruang di negara ini untuk membuat laporan tanpa sekatan tertentu,” katanya.- UTUSAN










