GEORGE TOWN: Polis mengesan dua hingga tiga individu lagi bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim atau Azie.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua yang dicari adalah warga tempatan dan mereka dipercayai boleh membantu siasatan kes penculikan tersebut.
Menurut beliau, polis mengenal pasti identiti ketiga-tiga individu tersebut namun perlu menyiasat lanjut untuk pengesahan sebenar sebelum dikongsikan dengan pihak berkuasa di Thailand.
“Buat masa ini PDRM masih menjalankan siasatan dan memeriksa keterangan yang ada untuk memastikan duduk (situasi) sebenar kes ini.
“PDRM memohon media bersabar dan memberi sedikit masa supaya kita betul-betul dapat ‘establish’ motif sebenar di sebalik kejadian melarikan mangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Pengkalan Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban dekat sini hari ini.
DIEKSTRADISI
Ditanya sama ada PDRM akan memohon supaya suspek-suspek yang ditahan di negara jiran diekstradisi ke negara ini, Acryl Sani berkata, proses tersebut akan dibuat menerusi saluran undang-undang.
Menjawab situasi kes penculikan kanak-kanak dan penjualan organ yang disensasikan di media sosial, Acryl Sani berkata, siasatan polis mendapati kebanyakan kes tersebut adalah palsu.
Jelas beliau, maklumat lanjut mendapati kes-kes tersebut adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan serta disebarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan yang tidak dapat dipastikan.
“Melainkan kes penculikan di Genting Highlands, itu pun saya tidak boleh komen kerana sekarang sedang melalui proses perbicaraan, jadi biar mahkamah tentukan motif sebenar di sebalik kejadian itu.
“Tetapi selain kes itu, semua laporan yang berkaitan kes culik kanak-kanak dan penjualan organ yang kita terima adalah tidak berasas,” katanya.
Bagaimanapun, Acry Sani berkata, beliau melihat penyebaran kes-kes sebegitu secara tidak langsung telah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak dan anak-anak masing-masing.
“Tetapi jangan sampai pula kita terbabit dalam menyebar luas berita tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat umum,” katanya.- UTUSAN