Jawatankuasa khas ditubuh teliti jumlah pengundi meragukan

Jawatankuasa khas ditubuh teliti jumlah pengundi meragukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat daerah bagi memantau dan meneliti peningkatan jumlah pengundi yang meragukan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan bagi membolehkan setiap daerah mengenal pasti keberadaan pengundi-pengundi di kawasan masing-masing.

“Kita buat di peringkat daerah sebab mereka tahu siapa pengundi-pengundi di kawasan. Misalnya kawasan peti undi, kampung atau daerah mengundi, mereka lebih tahu siapa yang duduk dan tinggal di sana selama berpuluh-puluh tahun.

“Selepas itu, mereka akan mengemukakan laporan apabila semua penelitian telah dibuat,” katanya semasa mengulas mengenai jawatankuasa khas menyemak senarai daftar pemilih yang meragukan di Sabah.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, penelitian masih lagi dijalankan bagi melihat senarai daftar pemilih yang meragukan itu.

“Masih lagi kita teliti jadi, kita telah pun mengarahkan jentera parti masing-masing di setiap kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi ini sama ada ia datang dari kawasan itu atau dari mana. Kita sedang meneliti senarai pengundi ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan berlaku peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang pada 2018 semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada 1,638,806 orang menjelang pilihan raya kali ini.

Susulan peningkatan lebih 50 peratus pengundi itu, Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat peningkatan jumlah pengundi itu.

Ruslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan mencadangkan jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri kerana perkara itu dikhuatiri akan bertukar menjadi isu keselamatan jika dibiarkan berterusan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN