KUALA TERENGGANU: Kebimbangan pelajar menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) hanya kerana isu pembiayaan terlalu mahal perlu dikikis kerana tanggapan itu akan merugikan mereka.
Walaupun yuran pengajian di IPTS lebih mahal, namun, pelajar dan keluarga mereka tidak perlu khuatir kerana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan pembiayaan untuk tujuan tersebut.
Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung Kebangsaan (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, ketika ini, pembiayaan 100 peratus akan diberi kepada golongan pelajar B40 dan M40.
“Pertukaran status daripada pinjaman kepada biasiswa yang ditawarkan PTPTN kepada pelajar cemerlang untuk pengajian ijazah sarjana muda ini perlu dijadikan motivasi untuk mereka terus melakar kecemerlangan mendapat anugerah Dekan agar layak menikmati kemudahan itu.
“Tidak semestinya gagal mendapat tempat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPU Online akan menutup ruang kepada pelajar cemerlang ini terus berjaya kerana IPTS masih ada menawarkan peluang yang sama.
“Isu mahal tidak berbangkit kerana status pinjaman boleh ditukar kepada biasiswa untuk pelajar yang konsisten cemerlang pada setiap semester, ini perlu dijadikan motivasi untuk mereka fokus dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU) perlu diperbetulkan bagi memastikan pelajar cemerlang tidak tercicir daripada mendapat tempat di universiti awam atau kerajaan perlu mewujudkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Alasan 20 universiti awam penuh tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya Kementerian Pengajian Tinggi perlu tampil dengan pelan menyeluruh termasuk menjalin kerjasama dengan IPTS bagi menempatkan hampir 20,000 pelajar cemerlang yang tidak terpilih ke universiti awam.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, sistem kemasukan universiti kerajaan tidak sepatutnya mengetepikan pelajar cemerlang hanya kerana tiada kekosongan.
Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata, kerajaan juga disaran agar menambah baik mekanisme penilaian sistem kemasukan pelajar melalui UPU Online agar kelebihan dimiliki pelajar turut dijadikan markah tambahan untuk pelajar.
“Contohnya, pelajar tingkatan enam yang mewakili negeri atau negara dalam pidato atau perbahasan misalnya, boleh diberikan markah tambahan untuk mereka,” katanya. –UTUSAN