PUTRAJAYA: Harga runcit ayam di negara ini masih berada di bawah paras kawalan maksimum iaitu RM9.40 sekilogram berdasarkan cerapan harga harian yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Sabtu lalu.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, harga purata nasional bagi ayam runcit adalah RM9.18 sekilogram manakala harga purata di Semenanjung pada kadar RM9.13 sekilogram.
“KPDNHEP memandang serius berhubung dengan laporan media mengenai peningkatan harga runcit ayam dan program mekanisme kawalan harga maksimum bagi ayam dan telur telah dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.
“Seperti komoditi lain, harga bagi ayam dan telur ayam akan turut terkesan dan mengalami perubahan selaras dengan pergerakan kos input pengeluaran seperti jagung bijian dan soy bean meal.
“Namun begitu, kerajaan akan terus komited dalam memastikan harga di setiap rangkaian bekalan tidak akan melebihi harga maksimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, Program Jualan Murah Keluarga Murah (PJMKM) yang dianjurkan turut menawarkan harga lebih rendah sehingga 20 peratus berikutan terdapat subsidi tambahan jualan bagi memastikan harga di bawah harga kawalan maksimum.
Tambah beliau, KPDNHEP juga membentangkan status kedudukan harga dan bekalan semasa ayam dan telur tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, semalam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kementerian memberi amaran kepada semua pihak terutamanya penternak, pemborong dan peruncit untuk menjual ayam dan telur dengan mematuhi kawalan harga maksimum dan kegagalan mematuhinya akan mengakibatkan mereka dikenakan tindakan di bawah akta- akta berkaitan. –UTUSAN