BANDAR BAHARU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, segala ‘senjata’ dan ‘peluru’ perlu dihalakan kepada musuh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kesemua ahli Barisan Nasional (BN) harus menyedari dan kenal siapa lawan dan siapa kawan mereka yang sebenarnya.
Malah, Ismail Sabri berkata, kesemua ahli parti wajib mengelak daripada menghalakan senjata ke kaki sendiri yang mungkin boleh menyebabkan calon BN tewas.
Justeru, beliau berharap momentum solidariti ditunjukkan ahli ketika ini diterjemahkan pada hari mengundi PRU15 sehingga keputusannya diumumkan.
“Kita dah kenal siapa musuh kita, siapa (ada) di sebelah sana, ada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air. Itu musuh kita yang kita dah kenal pasti.
“Jadi, halakan seluruh senjata dan peluru untuk tembak mereka bukan kaki sendiri, kita sudah tahu nak lawan siapa. Saya juga harap fitnah kepada kita mesti dijawab segera dan tak biar sehingga tiga, empat hari kerana persepsi yang wujud jika tak ditangkis akan jadi fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran peringkat negeri Kedah di Dataran Serdang, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menurut Ismail Sabri, segala ‘peluru’ atau bahan disediakan kerajaan seperti Bajet 2023, isu Tommy Thomas dan kecuaian Pulau Batu Puteh yang sepatutnya digunakan ahli BN sepenuhnya.
“Ini adalah bahan kempen kita, beritahu kepada rakyat tidak lama lagi manifesto parti-parti lain akan keluar, tetapi manifesto hanya janji, jangan sampai dua kali kena tipu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi contoh sikap berjiwa besar Ahmad Zahid yang perlu ada dalam diri setiap ahli dan pemimpin melibatkan soal pencalonan kerana ada antaranya mungkin akan kecewa apabila tidak dicalonkan.
“Apabila tidak dapat (jadi calon), saya tahu ramai akan kecewa. Pada yang tak dapat kalau sedih, bersedihlah. Tiada masalah kita bagi dia tempoh bertenang dua ke tiga hari bawa hati lara nak pergi pantai di Langkawi pun boleh.
“Tetapi, selepas itu mesti keluar untuk berkempen bagi memastikan parti kita menang. Jangan ada sabotaj (termasuk) di Kedah. Kita kena berjiwa besar, saya nak beritahu orang yang paling berjiwa besar dalam kalangan kita adalah Datuk Seri (Ahmad) Zahid yang sokong bila saya jadi Perdana Menteri,” katanya. –UTUSAN