Gajah liar mendaki bukit di Jalan Tasik Kenyir - Utusan Malaysia

Gajah liar mendaki bukit di Jalan Tasik Kenyir

SEKUMPULAN gajah mendaki kawasan berbukit di Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. - FACEBOOK/DANITA DAMIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sekumpulan gajah liar ditemukan melintas jalan dan mendaki sebuah bukit di Jalan Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Pemilik laman Facebook, Danita Damia menulis, dia melihat 14 ekor gajah liar tersebut ketika melalui Jalan Tasik Kenyir  pada pukul 1.40 petang.

Danita Damia turut memuat naik empat gambar dan satu video berdurasi tiga saat kumpulan gajah tersebut mendaki kawasan berbukit.

“8.10.22. Sabtu jln tasik Kenyir jam 1.40 ada 14 ekor gajah,” tulis pemilik laman Facebook itu.

Dalam pada itu, di ruang komen pula terdapat netizen memaklumkan kemunculan kumpulan gajah di kawasan itu merupakan pemandangan biasa.

Beberapa netizen pulak tidak menolak kemungkinan tindakan gajah tersebut mendaki  bukit  sebagai petanda akan berlaku banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut. 

Menurutnya, kejadian itu biasa berlaku di laluan berkenaan memandangkan lokasi tersebut sememangnya merupakan kawasan gajah liar. 

“Sebagai pengguna jalan raya, tindakan terbaik boleh dilakukan ialah jangan bunyikan hon sekiranya terserempak dengan gajah melintas jalan atau berada berhampiran jalan. 

“Orang juga juga dinasihatkan tidak berada dekat dengan mamalia ini, jangan cuba ganggu dan adalah lebih baik beredar dari kawasan itu. 

“Selain itu, jangan turun daripada kenderaan untuk mengambil gambar atau video kerana tindakan sebegini boleh mengundang sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, Kemaman terkejut apabila sekumpulan lebih 30 gajah liar melintas di jalan tersebut. 

Video berdurasi 25 saat dirakam seorang pemandu FGV Plantations (Malaysia) Sdn. Bhd., Nik Mohd. Hafizul Nik Zulkifli, 26, yang kebetulan melalui jalan itu selepas selesai menghantar pekerja ladang kira-kira pukul 8.30 pagi.

Semalam, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah mendaki dan berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.

Masyarakat Orang Asli di daerah tersebut mempercayai kejadian gajah mendaki bukit itu  memberi petanda awal bencana alam akan berlaku. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya