PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 meningkat sebanyak 1,483 kes berbanding kelmarin 1,244 kes manakala kes sembuh pula mencatatkan jumlah 1,852 kes.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, Selangor menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 375 kes diikuti Kuala Lumpur (338), Perak (128) dan Sabah (118).
Bagi negeri catat bawah 100 kes pula iaitu Sarawak (91), Kedah (73), Melaka (73), Pulau Pinang (69), Negeri Sembilan (51), Kelantan (46), Johor (37), Pahang (35), Putrajaya (23) dan Terengganu (18).
Dua lokasi mencatatkan kes satu angka iaitu Perlis, lima kes dan Labuan, tiga kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 339 orang berbanding kelmarin, 304 orang.
Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 42 kes berbanding jumlah kelmarin, 46 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 23 kes berbanding jumlah kelmarin, 25 kes.
Bagi kluster Covid-19 pula, tiada kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 14 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,082 kluster.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan lima kes bersamaan jumlah kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,385 kes.
Satu kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,737 kes. – UTUSAN










