JERLUN: Barisan Nasional (BN) Kedah menyasarkan untuk menang lapan daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz berkata, sasaran itu bermakna mereka perlu menambah enam lagi kerusi daripada cuma dua yang dimenangi pada PRU14.
Katanya, kerusi-kerusi tersebut kebanyakannya berada di kawasan luar dan pinggir bandar yang memiliki majoriti pengundi Melayu.
“Dengan kerja kuat rakan-rakan komponen, BN mungkin dapat tambah satu atau dua kerusi lagi di kawasan bandar seperti Alor Setar dan Padang Serai.
“Jerlun salah satu daripada kawasan tersebut dan mungkin anda (wartawan) juga boleh teka beberapa kawasan lain seperti Kubang Pasu dan Langkawi.
“Rasanya rakyat sudah sedar dan insaf bahawa bukan mudah untuk mana-mana individu menjadi wakil rakyat yang berkesan dan disebabkan itu, kita yakin dengan sasaran diletakkan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Dewan Kuala Kerpan, Ayer Hitam di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyampaikan sumbangan kepada 80 keluarga selain turut memberikan bantuan kerusi roda kepada beberapa individu yang uzur di kawasan berhampiran.
Pada PRU14, BN cuma mampu meraih dua kerusi Parlimen di Kedah menerusi Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap serta Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Baling. – UTUSAN