PETALING JAYA: Pengundi perlu memberikan mandat mereka kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi merealisasikan Bajet 2023 yang dibentang baru-baru ini.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, melalui pembentangan Bajet 2023, ia menunjukkan kerajaan prihatin akan masalah dihadapi oleh rakyat diambang turun naik ekonomi ketika ini.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu memilih BN supaya agenda kerajaan hari ini untuk membantu rakyat seperti di dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.
“Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam mentadbir negara. Setahun pentadbirannya pelbagai kejayaan kita dapat kecapi.
“Rakyat perlu memberi mandat kepada BN dalam PRU15 supaya segala inisiatif dan bantuan yang terkandung dalam Bajet 2023 dapat dilaksanakan serta dapat meneruskan agenda meingkatkan kesejahteraan rakyat mahupun negara.
“Jangan kita pernah lupa kepada segala penipuan Pakatan Harapan (PH). Kita tidak boleh lagi menggadaikan masa depan negara, cukuplah sekali,” katanya dalam hantara Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah dengan pelbagai insentif dan bantuan untuk hampir setiap lapisan masyarakat selain mempertahankan ekonomi ketika dunia berdepan kelembapan.
Melalui pembentangan Bajet 2023 kelmarin, sebanyak RM372 bilion diperuntukkan iaitu RM40 bilion lebih tertinggi berbanding tahun sebelum yang memperuntukkan RM332.1 bilion.
Mengulas lanjut, Najmil Faiz berkata, rakyat adalah penentu hala tuju negara, jadi perlu lakukan pilihan bijat supaya agenda meningkatkan kesejahteraan rakyat dan meneruskan proses pemulihan ekonomi dapat dilakukan melalui pelaksanaan Bajet 2023.
“Kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sudah ditambah baik dengan peruntukan RM7.8 bilion, isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan tanggung lima atau lebih layak menerima RM2,500.
“Setiap lapisan masyarakat dari B40, M40, warga emas, belia, peniaga, petani Orang Kurang Upaya (OKU), murid sekolah hingga ke ibu hamil menjadi fokus dalam Bajet 2023.
“Pelbagai inisiatif ditambahbaik termasuklah e-Pemula untuk belia, gaji Mystep dinaikkan RM100, Kadar Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM150, Bantuan Musim Tengkujuh dinaikkan RM200 dan pelbagai lagi,” katanya. –UTUSAN