BAYAN BARU: Kerjasama antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA),Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin tidak berlaku.
Perkara itu dibayangkan Anwar sendiri ketika ditanya lanjut mengenainya termasuk bila pertemuan antara beliau dan Dr. Mahathir diadakan.
“Kerjasama apa? Bila saya kata (terbuka untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir)?
“Saya kata untuk berbincang dengan sesiapa pun boleh ‘bincang’. Kalau diperlukan (berbincang) hari ini saya ada di Pulau Pinang, lusa di Sarawak.
“Bagi saya lebih baik menemui rakyat dalam keadaan sekarang ini, jadi usul adakan pertemuan itu seolah-olah belum ada pertemuan, (sedangkan) berpuluh kali sudah ada pertemuan sebelum ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program makan malam Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Spice Arena, di sini malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan Dr. Mahathir yang juga Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersedia bertemu Anwar bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi PRU15.
Dalam reaksi awalnya berhubung kenyataan Dr. Mahathir itu, Anwar dilaporkan berkata, beliau tiada masalah bertemu dan berbincang dengan Dr. Mahathir, namun menegaskan perkara yang ditekankan PH adalah berkenaan kepentingan untuk melawan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

ANWAR IBRAHIM ketika berucap pada program makan malam Majlis Pimpinan Negeri PKR di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang, malam tadi.
Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau ada menerima permohonan untuk berjumpa daripada pihak Dr. Mahathir, Anwar yang juga Presiden PKR tidak mengulas lanjut.
“Lebih baik kita tumpu tentang apa masalah yang dihadapi rakyat dan apa yang kita mahu ketengahkan dan bawa kepada rakyat (dalam PRU15), bukannya membawa percaturan peribadi dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama tambah Anwar, beliau cenderung untuk melihat PRU15 menjadi pilihan raya umum berdasarkan manfaat yang ditawarkan kepada rakyat serta kewibawaan barisan kepimpinan parti politik bertanding memulihkan ekonomi dan mengangkat semula negara. – UTUSAN










